Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peruntukan RM14.64 juta pasang lampu jalan kampung di S'wak

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan sejumlah RM14.64 juta bagi pemasangan 16,292 unit lampu jalan kampung (LJK) di Sarawak tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan RM100 juta di bawah program LJK seluruh negara bagi memasang kira-kira 120,000 unit LJK.

"Sejumlah 16,929 unit LJK akan dipasang, daripada jumlah itu, 15,500 unit LJK daripada jenis High Pressure Sodium Vapour (HPSV) manakala 792 daripada jenis Light Emitting Diode (LED).

"Kira-kira 40 peratus pemasangan telah pun siap, bakinya 60 peratus pula saya akan minta Sarawak Energy Berhad untuk siapkan menjelang hujung tahun ini," katanya ketika berucap pada majlis perasmian LJK di Dewan Kampung Pasir Pandak di Kuching malam ini.

Turut hadir Timbalannya Datuk Alexander Nanta Linggi, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Utiliti Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

SEB mula melaksanakan program LJK sejak April lalu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kejayaan pelaksanaan program tersebut akan memudahkan beliau meminta peruntukan program LJK dalam Bajet 2018 nanti.

"Program LJK adalah ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu melihat kampung-kampung diterangi, kelihatan ceria dan seterusnya mengelakkan kejadian jenayah," katanya.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS