Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

ULASAN| Menjuarai isu RUU355 tidak lain adalah sebahagian daripada strategi PAS untuk kekal relevan. Parti itu sedar, berbanding PKR dan DAP, PAS menjadi parti paling lemah selepas PRU ke-13. Analisa PAS pasca-PRU lalu menunjukkan bahawa mereka perlu kembali menguasai teras majoriti Melayu.

Perkembangan politik yang menjadikan PAS ‘tercampak’ keluar daripada gabungan pembangkang sejak dua tahun lalu sebenarnya merupakan satu hikmah. PAS kini bukan sahaja berpeluang memperkukuhkan asas pengaruh di kawasan Melayu untuk berdepan dengan Umno; mereka juga sudah memikirkan untuk turut bertanding di kerusi-kerusi campuran.

Sekiranya PAS berada dalam gabungan utama pembangkang sepertimana dua kali PRU 2008 dan 2013, mustahil PAS boleh mengambil kerusi campuran yang pasti diserahkan kepada PKR dan DAP. Kini peluang terbuka kembali kerana PAS tidak terikat lagi Pakatan Harapan.

Maka tidak hairanlah PAS mengumumkan untuk bertanding sehingga 100 kerusi parlimen. Angka berkenaan adalah jumlah terbesar yang bakal ditandingi PAS sejak PRU selepas merdeka.

Di Selangor sahaja, PAS sudah pun mengumumkan mahu bertanding 40 kerusi. Angka-angka tersebut menunjukkan bagaimana antara kerusi tumpuan PAS kali ini adalah kerusi campuran. Di situ jugalah kemungkinan PAS untuk menang sangat cerah.

Strategi tersebut bolehlah dikatakan sebagai strategi serampang dua mata—kekal di kerusi majoriti Melayu; dan menerobos kerusi campuran.

Atas kesedaran inilah, PAS akan terus berkeras dengan Umno. Mustahil satu kerjasama politik untuk kepentingan pilihan raya boleh wujud antara PAS-Umno. Berkali-kali pimpinan tertinggi PAS mengulanginya bahawa ‘kerjasama’ dengan Umno hanyalah terbatas kepada apa yang mereka sebut 'demi kepentingan Islam'. Tidak lebih daripada itu.

Dan PAS sudah pun memperolehnya apabila Umno turut menyokong usaha presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membentangkan RUU355 dalam sesi sidang Dewan Rakyat awal tahun ini.

Jalan cerita yang penuh dramatik itu boleh dikatakan telah berpihak atau memberi kredit kepada PAS. Terutama di mata orang Melayu. Dengannya juga, sokongan akar umbi PAS dapat kembali diperkukuhkan selepas perpecahan parti sehingga melahirkan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Apa yang sama sekali tidak dilakukan orang Pakatan Harapan ialah menawarkan sesuatu yang jelas dan menarik kepada orang Melayu berbanding apa yang telah ditawarkan PAS. Gesaan mempunyai ketua menteri Melayu pertama Pulau Pinang, misalnya juga nampaknya dipandang entang oleh pemimpin Pakatan Harapan. Apakah mereka sedang kebingungan?

Perhimpunan Fastaqim

Berbanding PAS, usaha memperkukuh teras sokongan akar umbi terutama di kalangan Melayu dilakukan dengan cukup bersungguh-sungguh. Perhimpunan Fastaqim yang diadakan sejak dua tahun adalah buktinya.

Kelmarin di Kuala Terengganu, penyertaan yang dikatakan mencecah 200,000 orang menjadikan PAS semakin yakin strategi yang dirancang sedang berjalan di atas arah dan landasan yang tepat.

Sebelum masuk PRU, sudah menjadi kelaziman parti-parti politik mengadakan perhimpunan. Setiap perhimpunan, walaupun di sambar petir atau apa sahaja kelemahan yang cuba ditimbulkan pihak lawan, semuanya adalah persoalan kecil kerana apa yang lebih utama ialah menunjukkan kekuatan parti dan membangkitkan semangat anggota. Dalam hal ini PAS boleh dikatakan sudah berjaya berbanding parti-parti lain.

Tatkala teras sokongan dapat dipulihkan, Terengganu sekali lagi menjadi negeri tumpuan selain usaha mengekalkan Kelantan. Dalam kata mudah, kalau apa-apa pun terjadi di Kelantan, PAS ada Terengganu pula. Seakan mendapat bonus kalau nanti PAS dapat menguasai keduanya.

Bagi kerusi campuran di mana pengundi Melayu berada pada tahap 50 sehingga 60 peratus, kerusi sedemikian merupakan kesempatan baru kepada PAS. Terutama pada kerusi-kerusi yang ditandingi oleh calon bukan Melayu sama ada oleh MCA, MIC, DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahupun GERAKAN.

Sebagai contoh, sekira dua calon Cina iaitu dari MCA berdepan dengan DAP, undi Cina akan terbelah dua. Dengan meletakkan calon Melayu dari PAS, kemungkinan untuk menang menjadi lebih besar atas perkiraan pengundi Melayu akan lebih solid menyokong PAS.

Dalam keadaan itu, pengundi Melayu tak ada pilihan selain PAS. Di sinilah kerusi-kerusi yang akan menyumbang kepada kemenangan PAS untuk PRU akan datang.

Sekiranya semua strategi tersebut gagal, PAS masih ada kemungkinan ketiga iaitu menjadi parti yang walaupun dengan jumlah kerusi yang kecil, tetapi sangat signifikan dan penting. Strategi ini samalah seperti sebuah parti kecil dari Ireland Utara, Democratic Unionist Party (DUP) yang menjadi penentu dalam pilihan raya UK, Jun lalu.

Ketika Parti Konservatif kehilangan majoriti dan Parti Buruh pula tidak cukup kerusi untuk menubuhkan kerajaan, keduanya sangat memerlukan sokongan parti kecil seperti DUP. Teresa May dilihat segera menjalin rundingan dengan ketua DUP, Arlene Foster.

Walaupun Parti Buruh memerlukan hanya 10 kerusi milik DUP untuk mempunyai PM baru dari Parti Buruh, Jeremy Corbyn, tetapi DUP telah memilih untuk menyokong Parti Konservatif dengan May menyambung jawatan PM. Antaranya, May segera meluluskan peruntukan tambahan $2 bilion untuk lima tahun ke depan kepada Ireland Utara.

Kalau senario sama terjadi apabila BN dan Pakatan Harapan mencatat keputusan yang relatif seimbang, PAS tidak mustahil akan muncul sepertimana DUP. Memang ada pandangan cuba menakut-nakutkan PAS yang tidak lagi bersama Pakatan Harapan bahawa parti itu akan mencatat keputusan buruk, tetapi bagi PAS paling buruk bukan sangat mengenai keputusan PRU.

Perkara terburuk dalam politik adalah hilang suara atau tidak diumpama walaupun dalam dua kali PRU, PAS telah berkorban banyak perkara. Parti itu bukan sahaja memberikan teras pengundinya kepada parti rakan seperti DAP dan PKR, tetapi parti-parti rakan juga telah menggunakan apa jua kemudahan PAS seperti premis dan jentera pilihan raya.

Dalam perkiraan yang sedemikianlah, pemimpin PAS berfikir biarkan mereka berbaki beberapa kerusi, tetapi cukup signifikan untuk menentukan siapa yang boleh menubuhkan kerajaan. Itu pun kalau strategi mendapat jumlah kerusi lebih banyak, gagal.

Kalau berjaya, maka lain pula ceritanya. PAS tentu mahu kembali sebagai parti terbesar dan terkuat dalam Dewan Rakyat. Hanya dengan cara itu, suara dan keberadaan PAS akan kembali diumpama.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS