Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Kamala Lakhdhir dan delegasinya di pejabatnya hari ini.

Mah berkata mesyuarat itu menunjukkan hubungan yang erat antara kedua-dua negara ke arah pemahaman yang lebih baik mengenai isu berkaitan minyak sawit, getah dan kayu.

“Kami berharap untuk meningkatkan lagi perdagangan komoditi pertanian antara kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia dan AS berkongsi ikatan yang kukuh dalam perdagangan komoditi pertanian, dengan jumlah perdagangan komoditi sehingga RM14.11 bilion pada 2016, manakala eksport komoditi pertanian dan produk berasaskan komoditi Malaysia pada 2016 meningkat 0.9 peratus (RM13 bilion) berbanding 2015.

“Bagi tempoh Januari-Julai 2017, nilai eksport komoditi pertanian adalah sebanyak RM8.75 bilion, pertumbuhan sebanyak 14.8 peratus berbanding RM7.6 bilion dalam tempoh sama pada 2016.

“Sebahagian besar eksport adalah produk getah bernilai RM3.8 bilion, diikuti minyak sawit dan produk berasaskan sawit sebanyak RM2.5 bilion, serta kayu dan produk kayu bernilai RM2.1 bilion,” katanya.

Sementara itu, Mah berkata industri minyak sawit Malaysia telah mengambil langkah untuk memastikan kebajikan pekerja dijaga sejak industri itu disenaraikan dalam Senarai Barangan Dihasilkan Menggunakan Buruh Kanak-Kanak atau Buruh Paksa Jabatan Buruh AS.

“Melindungi kebajikan pekerja adalah antara keperluan di bawah Skim Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO), yang telah dilaksanakan sejak 2015 dan akan diwajibkan di seluruh negara pada akhir 2019,” katanya.

 

-Bernama