Polis panggil ahli sekretariat himpunan antikleptokrasi
Dua hari selepas acara 'Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' diadakan di Padang Timur, pihak polis memanggil seorang ahli sekretariat himpunan itu untuk disoal siasat.
Lim Yi Wei, setiausaha politik anggota parlimen DAP Tony Pua merangkap ahli majlis Petaling Jaya disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012, kata peguam Vince Tan.
Menurut peguam itu, Lim tiba di ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya dan soal siasata itu berlangsung kira-kira 40 minit.
Seksyen 15 (1) PPA berkaitan dengan syarat-syarat dan sekatan terhadap perhimpunan bagi tujuan keselamatan atau ketenteraman awam.
Seseorang itu boleh didenda maksima sebanyak RM10,000 jika sabit kesalahan.
Hak berhimpun
Bercakap kepada Malaysiakini, Lim berkata pegawai penyiasat bertanyakan mengenai latar belakangnya dan soalan asas berkenaan perhimpunan tersebut.
"Kami telah memberi kerjasama dengan pihak polis semenjak awal lagi. Kami memberitahu polis lebih dari 10 hari sebelum himpunan diadakan selari dengan PAA. Apabila pihak polis mengeluarkan surat kepada kami, kami pergi berjumpa mereka," katanya.
"Mereka tidak memberi sebarang petunjuk samada saya akan didakwa tetapi saya harap hal itu tidak terjadi kerana kami ada hak untuk berhimpun di bawah PAA," tambah beliau.
Pihak polis membantah perhimpunan yang dianjurkan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan memaklumkan akan mengambil tindakan bersesuaian terhadap mereka yang terlibat dalam perhimpunan tersebut.
Hal ini walaupun Majlis Bandaraya Petaling Jaya membenarkan padang itu digunakan pada 14 Oktober lalu.

