Nik Aziz serah pada kjaan pusat tangani isu pelarian selatan Thai
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyerahkan kepada kerajaan pusat untuk menangani isu 131 penduduk selatan Thai yang menyeberangi sempadan masuk ke Kelantan kerana bimbangkan keselamatan diri mereka.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyerahkan kepada kerajaan pusat untuk menangani isu 131 penduduk selatan Thai yang menyeberangi sempadan masuk ke Kelantan kerana bimbangkan keselamatan diri mereka.
"Kerajaan negeri serah kepada kerajaan pusat, (kita) beri sokongan kepada tindakan (yang akan diambil).
"Cumanya ambo (saya) nasihat kepada orang tempatan...penduduk tempatan supaya simpati (kepada warga Thai) sebagai tetamu, sebagai keluarga kerana kita sama serumpun satu agama, sokongan atas peri kemanusiaan," katanya ketika ditemui di kediamannya dekat Kota Bharu petang tadi.
Beliau juga menyambut baik kenyataan Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar bahawa atas dasar kemanusiaan, Malaysia sedia memberi perlindungan sementara kepada pelarian dari selatan Thai jika keadaan di wilayah itu terus tidak aman.
"Kenyataan Syed Hamid, saya sokonglah," katanya.
Menurut laporan Bernama, Syed Hamid dipetik sebagai berkata di Kuala Lumpur, Malaysia sentiasa prihatin dengan masalah yang menimpa penduduk negara itu, apatah lagi hubungan rapat yang telah lama terjalin antara kedua-dua pihak.
Bidang kuasa k'jaan pusat
Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Husam Musa KOTA berkata tugas menangani isu 131 penduduk selatan Thailand itu adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat dan bukan kerajaan negeri.
"Saya meminta kerajaan Pusat supaya menggunakan saluran diplomatik untuk meredakan ketegangan di selatan Thailand," katanya ketika diminta mengulas perkara tersebut.
Seramai 62 rakyat selatan Thai 20 lelaki, 15 wanita dan 27 kanak-kanak berkumpul di Masjid Kampung Gual Tinggi, Rantau Panjang manakala 69 lagi 44 lelaki, 9 wanita dan 16 kanak-kanak berkumpul di Masjid Pengkalan Kubor, Tumpat.
Kesemua warga Thailand itu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tanpa dokumen perjalanan yang sah masuk ke negara ini pada kira-kira jam 8.30 malam, Selasa lalu.
Husam berkata, sebagai sebuah negara jiran, Malaysia mempunyai pengaruh untuk bekerjasama dengan kerajaan Thailand bagi mencari jalan penyelesaiannya.
Katanya, kerajaan negeri bimbang keadaan itu berlanjutan kerana ia boleh membawa kepada banyak implikasi lain.
Ramai lagi dijangka tiba
Sementara itu, Pengerusi Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Rahman Abdul Samad berkata lebih ramai rakyat selatan Thailand akan menyeberangi sempadan jika keadaan tegang di negara itu berterusan.
Beliau berkata tindakan warga Thailand itu merupakan langkah terdesak bagi menyelamatkan diri daripada keganasan operasi ketenteraan.
"Secara logik, negara terdekat bagi mereka ialah Malaysia selaku negara jiran kerana banyak rakyat selatan Thailand dari segi budaya dan agama adalah sama," katanya ketika dihubungi.
"Sebenarnya jika nak lari, mereka hanya akan pilih Malaysia dan Mekah sahaja," katanya yang menawarkan diri menjadi orang tengah bagi menyelesaikan ketegangan ini kepada pegawai Wilayah Narathiwat semasa mereka melawat pejabatnya petang tadi.
Abdul Rahman berharap keadaan tenteram dan suasana aman di selatan Thailand akan dapat dipulihkan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.