Hishammuddin: Martabatkan semula Bahasa Melayu
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu Bahasa Melayu dimartabatkan semula dengan mempertingkatkan lagi penggunaannya ketika negara dan masyarkat Malaysia memasuk era globalisasi.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu Bahasa Melayu dimartabatkan semula dengan mempertingkatkan lagi penggunaannya ketika negara dan masyarkat Malaysia memasuk era globalisasi.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Malaysia, berkata kepentingan bahasa Inggeris sebagai pelengkap untuk menghadapi persaingan dalam era globalisasi, bukanlah alasan untuk meminggirkan peranan Bahasa Melayu sendiri sebagai ejen pembangunan dan kemajuan negara.
"Kita perlu memperakui bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah ejen pembentuk jati diri dan semangat perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan lagi," katanya di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pelajaran di Putrajaya hari ini.
Katanya ,beliau mahu Bahasa Melayu dilihat bukan sahaja sebagai bahasa perpaduan atau bahasa ilmu tetapi juga bahasa yang menjadi identiti rakyat Malaysia.
Buat permulaan, katanya beliau mahu satu gerakan menyeluruh dan bersungguh-sungguh dilaksanakan di setiap peringkat di kementerian itu bagi memupuk semangat cintakan bahasa kebangsaan.
Sehubungan ini, beliau telah mengarahkan Jabatan Pelajaran menyenarai dan menyelaraskan segala aktiviti berkaitan bahasa yang dilaksanakan kementerian itu termasuk juga pengembangan bahasa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, (DBP), Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
Program bahas, pidato
Menurut laporan Bernama, Hishammuddin berkata, langkah itu diambil bagi mengkaji semula aktiviti dan program yang dianjurkan sebelum ini oleh pihak berkenaan dengan opsyen untuk mengubahnya dengan memberikan sasaran lebih jelas terhadap pencapaian matlamatnya.
Katanya, banyak program yang dijalankan sebelum ini seperti bahas, pidato, dan forum hanya dilaksanakan sebagai rutin sahaja tanpa dapat dihayati sepenuhnya sehingga ia menjadi kurang berkesan.
Menurutnya beliau juga telah mengarahkan DBP untuk mengkaji faktor yang menyebabkan Bahasa Inggeris berkembang begitu pesat dan juga Bahasa Jepun, Jerman dan Perancis mengembangkan bahasa dan kesusasteraan mereka.
Bagi ITNM pula, kata Hishammuddin, beliau mahu ia mengkaji pengalaman negara China, Indonesia dan Jepun dalam bidang penterjemahan dengan begitu cepat yang mungkin dapat dipelajari.
Dalam perhimpunan Pemuda Umno baru-baru ini, Hishammuddin juga membangkitkan perlunya
Dasar
Ekonomi Baru (DEB) dihidupkan semula bagi memastikan matlamat 30 peratus penyertaan bumiputera dicapai.
Beliau mencadangkan usaha itu dilakukan melalui pelaksanaan Agenda Nasional Baru sebagai asas kepada Rancangan Malaysia Ke-9 yang menekankan kepada pencapaian matlamat tersebut.
Bagaimanapun, saranan beliau itu telah menimbulkan perdebatan umum termasuk di kalangan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang menyifatkannya sebagai 'satu langkah ke belakang'.

