Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadkan pembesar suara galak ramai orang ke masjid

Susulan daripada titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah agar semua masjid dan surau di negeri itu mengehadkan penggunaan pembesar suara untuk kegunaan dalam bangunan sahaja mengundang pelbagai reaksi banyak pihak.

Tinjauan Malaysiakini ke beberapa Masjid di Selangor mendapati ada pihak dalam kalangan orang Islam yang bimbang jika orang sekeliling masjid ‘kurang terdakwah’ dengan menghadkan pembesar suara.

Menurut Mohd Fairuz Amidan, 34, secara asasnya Islam menggariskan bahawa bacaan al-Quran tidak perlu dikuatkan bagi menjaga keharmonian sesuatu kawasan.

Namun kebimbangannya adalah apabila pembesar suara tidak digunakan bagi tujuan ceramah, orang sekeliling kurang terdakwah.

“Secara logiknya orang sekeliling akan ada halangan untuk dengar, (maka mereka) tak terdakwah juga. Yang nak dengar ceramah ini orang perempuan sekeliling sebenarnya,” katanya yang ditemui di Masjid Al-Aman Lembah Jaya Utara, Ampang.

Dia menambah, bagi menarik orang ramai ke masjid dan surau, pihak pengurusan perlulah lebih kreatif dalam menyediakan fasiliiti seperti perpustakaan, meja pingpong dan gelanggang futsal supaya golongan muda akan berminat ke masjid sekaligus akan mendengar ceramah.

Teliti isi ceramah

Isnin lalu Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar penggunaan pembesar suara hanya untuk laungan azan dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sahaja.

Saranan itu diumumkan bersama penarikan balik tauliah mengajar agama Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah Zamihan Mat Zin yang didakwa mengkritik sultan Johor berkenaan isu perkhidmatan dobi eksklusif untuk umat Islam di Muar, Johor baru-baru ini.

Bagi Abdul Rahim Khasim, 24, pula berkata, dalam sebuah negara demokrasi seharusnya isu mengenai pembesar suara tidak timbul.

Namun beliau mencadangkan supaya pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) meneliti isi kandungan ceramah sebelum disampaikan kepada orang ramai.

“Dalam konteks negara demokrasi (jika) nampak satu kawasan itu kawasan Islam sepatutnya tak ada masalah.

“(Namun) isi kandungan ceramah perlu dilihat dulu. Kalau dah dinilai tapi orang waras tetap menolak benda baik, maksudnya dia belum betul-betul waras lagi,” katanya yang menambah agamawan tidak perlu agresif dalam berdakwah.

Mohd Hafidz Amdan, 31, pula berpendapat antara cara menarik minat orang ramai ke masjid adalah dengan menjemput penceramah tersohor dan gemar membuat jenaka.

“Letak penceramah yang tersohor seperti ustaz Azhar Idrus atau ustaz Ismail Kamus pasti ramai datang. Cari yang lawak-lawak sikit jadi ramai yang akan tertarik datang masjid,” katanya.

Tekankan tolenransi

Rawahah Mohd Fadil, 27, pula berpendapat, isu itu tidak boleh dijadikan halangan untuk orang Islam tidak mendengar ceramah kerana katanya segalanya kini teknologi di hujung jari.

“Kita tidak semestinya hanya perlu dengar ceramah di masjid, kita juga boleh tengok Youtube. Jadi walaupun tanpa pembesar suara, itu bukan alasan umat Islam tak ke masjid,” katanya.

Rawahah yang ditemui di Masjid Ma’muriah Kampung Kayu Sungai Ara berkata titah Sultan Selangor itu baik untuk menggalakkan umat Islam bersatu padu dan berusaha agar dakwah terus sampai kepada semua pihak.

Sementara itu, Muhammad Salman Muhammad, 31, yang ditemui di Masjid Negeri Shah Alam pula berkata langkah itu akan memberi motivasi kepada orang Islam untuk mengunjungi masjid bagi mendengar ceramah.

“Tidak, bila ada halangan (menggunakan pembesar suara) itu, orang ramai akan datang terus ke masjid sebab sebelum ini orang yang dapat dengar (dari pembesar suara) tak ke masjid. Jadi bila dah tak dapat dengar mereka akan ke masjid, jadi motivasi,” katanya.

Beliau juga berkata seharusnya penceramah menekankan aspek toleransi dalam keadaan negara yang berbilang bangsa dan agama supaya menjaga adab dan tidak menghina agama lain.

“Kita kena toleransi, sebab itu ceramah kita kadang-kadang hina agama lain, bila orang sekeliling dengar jadi tak sedap lah,” katanya.

Lihat Komen
ADS