Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Taib tak jumpa kemanisan PAS
Diterbitkan:  Oct 19, 2017 6:17 PM
Dikemaskini: 1:37 PM

PAS adalah parti politik yang mencari "kemanisan" di dunia dan akhirat namun pengalaman itu, menurut veteran PAS, Subky Latif, gagal ditemukan Tan Sri Muhamad Muhammad Taib ketika bekas menteri besar terbabit bersama mereka sebelum ini.

“Muhamad masuk PAS sebentar dan pulang semula ke gagang (Umno). Ia adalah yang terpinggir yang tidak bertemu dan merasa manis PAS itu.

"Rata-rata (ahli PAS) terasa madu itu manis, tetapi takdir dia merasa madu itu pahit,” kata bekas wartawan veteran Utusan Melayu berkenaan melalui kolumnya yang disiarkan Harakahdaily pagi tadi.

September lalu, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak membuat sidang media 'tergempar' yang memberi isyarat sesuatu yang besar bakal berlaku dalam politik negara.

Ekoran cara ia diuar-uarkan beberapa pihak meramalkan sejumlah anggota PKR dan PAS akan menyeberang jambatan menyertai Umno hingga membuka ruang untuk kerajaan Selangor dikuasai semula oleh BN.

Bagaimanapun sidang media itu 'mengecewakan' ramai orang apabila ia akhirnya menjadi tempat Najib mengumumkan kepulangan Muhammad kepada Umno.

Selain menjadi menteri besar Selangor, Muhammad adalah sebahagian daripada anggota Team Wawasan dan terpilih menduduki jawatan naib presiden Umno suatu masa dulu.

Selepas kalah dalam pemilihan Umno Muhammad kurang muncul sebagai ahli politik sebelum mengumumkan menyertai PAS.

Seperti manisnya Islam

Ekoran perkembangan dalaman PAS pascamuktamar pada 2015 Muhammad kemudian memilih PKR sebagai wadah politiknya.

Beliau kemudian menyertai Umno semula dan menyatakan rancangannya - bersama dua bekas menteri besar lain - membantu parti itu merampas semula Selangor daripada kerajaan sekarang.

Dalam tulisannya itu Subky menyentuh nasib bekas pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Hamidah Osman yang menurutnya boleh mempertimbangkan kemungkinan menyertai PAS pula.

“Hamidah (gambar) sudah tidak serasi dengan Umno dan BERSATU, dan keserasian itu mungkin ada dalam PAS,” kata Subky mengenai bekas pemimpin Wanita Umno dan exco Perak itu.

Menurut Subky hanya seseorang yang pernah menyertai PAS dapat merasai keindahan berjuang dengan parti berkenaan.

"Perjuangan itu manis seperti manisnya Islam.

"Manis Islam itu lebih dimaknakan oleh perjuangannya dan oleh umatnya.

"Di sinilah PAS mencari manis di dunia dan manis di akhirat," katanya.

Namun kata Subky orang yang tidak bersama PAS, tidak akan tahu dan tidak terasa kemanisan yang dimaksudkannya.

"Nak tahu manisnya madu PAS, sertailah PAS,” katanya.

Hamidah sebelum ini pernah menjadi ketua wanita Umno bahagian Gopeng selain Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat.

Hamidah dipecat kerana mengkritik Najib secara terbuka berkenaan skandal 1MDB dan ekoran itu beliau menyertai BERSATU.

September lalu, Hamidah meletakkan jawatan selepas dikatakan tidak sefahaman dengan Ketua Armada BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Lihat Komen
ADS