Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MTUC gesa k'jaan laksana Sistem Insurans Pekerjaan tahun depan

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan bertegas dalam memastikan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dapat dilaksana pada 1 Januari tahun depan bagi melindungi kepentingan pekerja di sektor swasta di negara ini.

Presiden MTUC Abdul Halim Mansor berkata, pihaknya juga menyarankan kerajaan agar tidak melayan kerenah pihak tertentu yang mahu mengadakan dialog dan perbincangan mengenai perkara itu yang menurutnya hanya bertujuan melambat-lambatkan pelaksanaan sistem berkenaan.

"SIP ini bukannya satu bentuk faedah kepada pekerja, sebaliknya ia adalah satu sistem perlindungan kepada pekerja, jadi kalau kita menangguhkan pelaksanaannya, secara tidak langsung kita menidakkan perlindungan kepada pekerja.

"(Rang undang-undang) sistem ini akan dibentangkan di Parlimen dalam bulan ini dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah menyatakan ia akan berkuat kuasa pada 1 Jan tahun depan, jadi kita tidak ada masa lagi untuk dialog," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Baru-baru ini, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan dilaporkan berkata Kementerian Sumber Manusia perlu mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi membincangkan beberapa perkara yang belum dipersetujui mengenai sistem itu.

Majikan 'gulung tikar'

Abdul Halim berkata, MTUC yang mewakili pekerja-pekerja di negara ini berasa kesal dan tersinggung dengan kenyataan Shamsuddin itu yang disifatkan seperti tidak prihatin terhadap risiko yang dihadapi pekerja-pekerja yang mungkin diberhentikan atau kehilangan pekerjaan akibat majikan 'gulung tikar'.

Beliau berkata pihaknya turut terkilan dengan cadangan MEF supaya manfaat SIP hanya diberikan kepada pekerja yang tidak menerima faedah penamatan kerja (ETLB) atau di bawah perjanjian kolektif (CA).

Katanya, perkara itu dilihat seperti majikan cuba lari daripada tanggungjawab mereka berdasarkan Peraturan-Peraturan Kerja (Faedah-Faedah Penamatan Dan Rentikerja Sentara) 1980 yang menetapkan majikan membuat bayaran faedah kepada pekerja yang diberhentikan.

"Adalah tidak wajar caruman pekerja kepada dana SIP digunakan pula untuk membantu majikan yang tidak bertanggungjawab (tidak memberi bayaran faedah kepada pekerja yang diberhentikan), sedangkan ETLB dan CA adalah tanggungjawab majikan di bawah undang-undang," katanya.

SIP merupakan satu bentuk perlindungan keselamatan sosial yang menyediakan bantuan kewangan segera (faedah) kepada pekerja kehilangan pekerjaan dan menyediakan bantuan carian pekerjaan, penempatan pekerjaan, kaunseling kerjaya, latihan dan lain-lain bagi membantu pekerja tersebut bekerja semula secepat mungkin.

Pada Mac lepas Najib berkata kerajaan bersetuju melaksanakan sistem itu yang dijangka dikuatkuasakan pada 1 Jan tahun depan, manakala bayaran faedah boleh dibuat mulai 1 Januari 2019, bagi melindungi kira-kira 6.5 juta pekerja swasta.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS