Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN l Negara sedang berdepan dengan keruncingan masalah kehilangan keyakinan rakyat terhadap integriti kepimpinan negara. Rakyat tidak lagi menaruh kepercayaan terhadap keupayaan kerajaan dan juga dalam institusi-institusi penguatkuasa yang diharapkan untuk melakukan pembersihan.

Berita terkini bekas menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditahan oleh SPRM tetapi sebaliknya Pejabat Peguam Negara pula menubuhkan pasukan petugas khas untuk memantau rapi siasatan ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang didakwa terpalit dalam hubungan sulit dengan isteri orang.

Keraguan sama ada benar atau tidak Dzulkifli mempunyai hubungan sulit menampakan seperti ada kebenaran bila kes bila siasatan ke atasnya mahu dipantau oleh Pasukan Khas yang ditubuhkan oleh Pejabat Peguam Negara. Maka integritinya menjadi persoalan untuk meneruskan tanggungjawabnya.

Sama seperti siasatan kes forex ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad yang menimbulkan pelbagai prangsangka tetapi dalam kes Dzulkifli lebih berat implikasinya kerana beliau sedang menjadi tumpuan perhatian masyarakat.

Ini berhubung keberaniannya bertegas membongkar, mendedah dan bertindak terhadap beberapa kes rasuah yang selama ini tertutup.

Secara sepontan reaksi popular dari masyarakat ini adalah tindakan balas yang mengingatkan kepada pepatah Inggeris "Mereka yang tinggal di rumah kaca janganlah membaling batu." (People who live in glass houses shouldn't throw stone)

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam tweetnya berdakwah "Tegakkanlah keadilan dengan tegas - QS4 An-Nisaa:135"

Beliau tentulah sedar ini sekadarkan pengucapan retorik yang beliau lebih faham sebagai bekas ketua polis betapa sukarnya untuk bertegas kerana pandang kiri pandang kanan, pandang atas pandang bawah, pandang siang,pandang malam semuanya terpalit.

Kita berdepan dengan masalah kehilangan keyakinan rakyat yang amat ketara terhadap nilai moral dan kemurnian kepimpinan, kita tidak mempunyai kepimpinan yang beringeriti dari semua institusi dari atas ke bawah, dari politik hingga kepada institusi penguatkuasaan kerajaan.

Dr Mahathir meminta rakyat memberikan keyakinan kepada Pakatan Harapan tetapi kebersihan kepimpinan barisannya juga menjadi persoalan.

Dr Mahathir sendiri tidaklah sebersih atau setaraf Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura yang nekad dan berani menanam nilai integriti tanpa belas kasihan. Beliau lebih mementingkan kemanusiaan daripada kawan.

Negara kita hebat dengan sejarah tindakan tindakan pembongkaran skandal, rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa bukanlah kerana matlamat untuk integriti negara tetapi untuk integriti politik dan pengekalan kuasa.

Ini adalah warisan politik negara dari sejak awal kepimpinan negara hingga sekarang yang sukar untuk ditamatkan sekalipun pimpinan silih berganti dari kes Datuk Harun Idris hingga kepada Datuk Seri Anwr Ibrahim, Dr Mahathir dan Shafie serta akhirnya terkena kepada Mahatir sendiri.

Apakah masih ada cahaya di hujung terowong?


TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN bekas menteri penerangan dan bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Artikel ini dimuatkan kali pertama dalam blog beliau dengan tajuk yang sama.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS