Terjemahan Ketika puak pemisah Aceh menandatangani perjanjian damai pada 15 Ogos lalu dengan kerajaan Indonesia, bagi menamatkan pergolakan bersenjata selama hampir tiga dekad, salah seorang yang sepatutnya turut menyaksikan saat yang bersejarah itu di Helsinki, Finland ialah Prof P Ramasamy.

Beliau yang dianggap sebagai rakan rapat kepada ramai pemimpin tinggi GAM (Gerakan Aceh Merdeka), sering diminta pandangannya yang akhirnya membawa kepada rundingan damai antara dua pihak yang bertelagah itu.

Prof Ramasamy turut menghadiri perbincangan awal rundingan damai tersebut pada bulan Januari lalu sebagai seorang pemerhati.

Dan menurutnya, pembabitannya itu telah mengakibatkan perkhidmatan beliau secara kontrak di Universiti Kebangsaan Malaysia ditamatkan bulan lalu.

"Difahamkan pihak Indoneis telah membuat bantahan kepada Wisma Putra (Kementerian Luar Malaysia) mengenai perkara itu. Saya bukanlah penasihat rasmi GAM," katanya dalam wawancara dengan malaysiakini baru-baru ini.

"Sudah tentulah, pihak GAM datang menemui saya dan ramai lagi orang lain yang juga datang mendapatkan nasihat saya. Itu tidak bermakna yang saya menjadi penasihat rasmi mereka...," katanya.

Malah, sumbangan Prof Ramasamy ke arah kedamaian di Aceh turut diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

"Ada pihak yang datang menemui saya dan berkata:'Prof, di sesetengah negara, anda akan dianugerahkan bintang,.

"Saya menyumbang dalam beberapa cara (kepada proses damai). Mereka kini sudah menandatangani perjanjian damai. Malaysia sepatutnya gembira. Sekurang-kurangnya kita boleh menghantar pulang 40,000 pelarian Aceh di sini," katnya.

Sebaliknya, kata beliau, apa yang terjadi, kontrak perkhidmatannya di UKM pula yang ditamatkan secara mengejut.

Sejak Prof Ramasamy bersara pada usia 56 tahun Mac lalu, perkhidmatannya di universiti tersebut, disambung secara kontrak bulanan sehingga tahun 2007.

Pejuang hak pekerja

Apabila tidak mengajar, profesor sains politik ini, yang bertugas dengan UK selama 25 tahun, mengguna masanya yang terluang itu untuk memperjuangkan hak-hak pekerja ladang dan tanah rancangan Felda.

Hanya selepas itu minatnya beralih kepada perjuangan puak pemisah di seluruh dunia, terutama kumpulan Tamil Tigers yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan di wilayah timur laut Sri Lanka.

Dan ketika menjalankan kajiannya, Prof Ramasamy telah melawat wilayah yang dikuasi Tamil Tigers di timur laut, malah telah menemui pemimpin utama puak pemisah tersebut, Velupillai Prabakaran.

Sehingga minggu lalu, gambar Ramasamy dan Prabakaran masih terletak di mejanya di Pusat Pengajian Strategik, Sejarah dan Sains Politik di UKM.

Ramasamy telah mendapatkan kepercayaan Prabakaran untuk dilantik menganggotai Jawatankuasa Hal-Ehwal Perlembagaan puak pemisah itu satu-satunya anggota bukan rakyat Sri Lanka bagi membantu mendrafkan cadangan mewujud sebuah pentadbiran sementara di wilayah timur laut Sri Lanka itu, pada 2003.

Oleh itu, tidak menghairankan jika Prof Ramasamy diiktiraf sebagai pakar mengenai Tamil Eelam (LTTE).

Selain itu, minatnya juga tertumpu kepada satu lagi pergerakan puak pemisah Gerakan Aceh Merdeka atau GAM di Indonesia.

"Terdapat ramai pelajar Aceh di universiti ini yang bekerja dengan saya, dan saya berbincang dengan mereka, mendengar apa yang hendak mereka beritahu,. Saya amat bersimpati dengan perjuangan mereka," katanya.

Berikutan itu, beliau turut membantu menganjurkan seminar bagi pelajar yang lari meninggalkan Aceh selepas Jakarta menguatkuasakan undang-undang tentera di wilayah itu pada tahun 2002.

"Kami berbincang mengenai Aceh, Indonesia, Papua dan saya berkongsi maklumat dengan mereka bagaimana usaha LTTE menyelesaikan masalah mereka," katanya.

Terima autonomi

Prof Ramasamy kemudiannya diperkenalkan kepada pemimpin tinggi GAM, sesetengah daripadanya tinggal di Malaysia, manakala yang lainnya menetap di Sweden, termasuk perdana menteri bayangannya dan ketua perundingnya Malik Mahmud (foto).

Apabila rundingan damai anjuran Crisis Management Initiative dicadangkan, para pemimpin GAM datang mendapatkan pandangan Ramasamy, terutama mengenai pengalamannya mengenai proses rundingan damai di Sri Lanka.

"Mereka (rakyat Aceh) menolak tawaran diberi automomi khas, tetapi mahukan pemerintahan sendiri di wilayah Aceh. Kemerdekaan adalalah sesuatu yang amat mustahak bagi mereka. Mereka telah memperkatakan mengenai kemerdekaan sejak 30 tahun lalu," katanya.

Akhirnya GAM mencipta sejarah apabila menandatangani perjanjian damai dengan Jakarta serta menggugurkan tuntutan kemerderkaan, dan sekaligus menamatkan pergolakan bersenjata yang telah mengorbankan 16,000 nyawa.

Kerajaan Indonesia pula berjanji akan memberi pengampunan kepada semua tahan politik, membenarkan ditubuhkan parti politik di wilayah tersebut dan menarik keluar anggota tenteranya di Aceh menjelang akhir tahun ini.

"Pihak universiti sepatutnya berbangga kerana saya telah melakukan sesuatu yang baik," kata Prof Ramasamy.

Sebaliknya, kata beliau, UKM tidak dapat menerima hakikat bahawa seorang ahli akademik boleh memainkan peranan yang besar selain mengajar.

Q&A: Brokering peace in Aceh, Sri Lanka

http://www.malaysiakini.com/news/39867