Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi: Undi HARAPAN ertinya merestui kezaliman Mahathir
Diterbitkan:  Oct 20, 2017 12:14 PM
Dikemaskini: 5:00 AM

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membalas semula kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini berkata undian terhadap PAS sama sahaja seperti mengundi BN

Abdul Hadi berkata, undian terhadap Pakatan Harapan (HARAPAN) pula bersamaan dengan "mengundi dan mengiakan kezaliman Mahathir".

Dalam wawancara bersama Sinar Harian hari ini, beliau berkata bekas perdana menteri itu patut bertaubat kerana menjadi punca kepada kerosakan sistem negara, pengurangan kuasa Raja-raja Melayu, amalan demokrasi yang tempang dan meenjadi diktator ketika zamannya.

"Semua kesalahan ini beliau tidak mengaku dan tidak minta maaf kepada mangsa, bahkan masih lagi mempertahankan salah lakunya. Ini menunjukkan beliau tidak jujur untuk selamatkan Malaysia.

"Yang beliau mahu adalah jatuhkan Najib sahaja. Hakikatnya, mengundi DAP, PKR, Amanah (Parti Amanah Negara), Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) adalah mengundi dan mengiakan kezaliman Mahathir," katanya seperti dipetik.

Mahathir yang kini menjadi pengerusi HARAPAN pernah menggesa mereka yang mengkritiknya untuk melupakan hal lalu dan menumpukan perhatian kepada masa depan negara.

Beliau juga telah memohon maaf kerana mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu ketika menjadi perdana menteri.

Hadi dan Mahathir dilihat mula bertentangan selepas BERSATU gagal untuk merumuskan kerjasama dengan PAS.

PAS enggan bekerjasama dengan parti itu kerana hubungannya dengan Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP.

Berkenaan hubungan PAS dan Umno pula, Hadi menegaskan pendirian parti ialah mereka hanya akan bekerjasama berhubung soal melibatkan kepentingan Melayu dan Islam.

"Adapun dengan Umno BN, kita mengambil pendekatan 'taawun' iaitu menyokong apa yang baik dan positif demi keutamaan Islam dan Melayu.

"Kita membantah apa yang negatif dan salah yang merugikan negara dan rakyat seperti GST, TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik ), DLP (Program Dwibahasa di sekolah) dan Akta 164 (Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui (Perkahwinan Dan Perceraian) (Pindaan) 2017)," katanya lagi.

Beliau sekali lagi menegaskan PAS akan bersama-sama Gagasan Sejahtera bagi menghadapi BN dan HARAPAN pada pilihan raya umum akan datang.

Lihat Komen
ADS