SPRM tiada asas perundangan tahan Shafie, kata MP
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiada asas perundangan untuk menahan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Shafie Apdal, kata anggota parlimen PKR dan peguam N Surendran.
Beliau mengakui SPRM memang bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan, tetapi penahanan dan reman hanya patut dilakukan pada keadaan tertentu sahaja, seperti wujudnya risiko suspek melarikan diri ke luar negara atau mengganggu saksi.
"Dalam kata lain, beban perundangan jatuh kepada pihak berkuasa yang menangkap untuk menunjukkan mengapa siasatan tidak boleh diteruskan tanpa penahanan dan reman.
"Tiada yang menunjukkan, malah dari SPRM sendiri, yang Shafie mungkin meninggalkan negara atau campur tangan terhadap saksi. Maka apa asas perundangan bagi penahanannya?" soal anggota parlimen Padang Serai itu dalam kenyataan hari ini.
SPRM menahan Shafie semalam selepas beliau hadir ke ibu pejabat SPRM Sabah di Kota Kinabalu untuk memberi keterangan.
Beliau kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan darah tinggi, dan dijangka akan direman hari ini.
SPRM telah melakukan siri tangkapan - termasuk dua adik Shafie dan beberapa pemimpin WARISAN - berhubung siasatan dakwaan penyelewengan dana sekurang-kurangnya RM1.5 bilion, yang diperuntukkan untuk pembangunan luar bandar Sabah.

RM1.5 bilion itu didakwa sebahagian daripada sejumlah RM7.5 bilion yang diperuntukkan bagi projek luar bandar di negeri itu untuk tempoh enam tahun.
SPRM juga menyiasat kira-kira 60 syarikat yang diberikan projek bekalan air, elektrik dan pembinaan jalan di pedalaman Sabah.
Shafie memegang portfolio kemajuan luar bandar dan wilayah sejak 2009 hingga 2015. Beliau menafikan terlibat dalam dakwaan itu.
Sementara itu, DAP Sabah mendakwa penahanan Shafie bermotifkan politik dan bertujuan "menakutkan dan mengaibkan" pemimpin pembangkang.
"Mereka yang ditahan dalam kes Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah ini ditampilkan seolah-olah sudah bersalah, lama sebelum siasatan selesai," kata Setiausaha DAP Negeri Chan Foong Hin.
Chan juga mendakwa SPRM pada masa sama mengabaikan dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

