Jabatan Agama Islam Selangor tidak membenarkan imam dan guru agama dari India mengajar di masjid dan surau di negeri itu kerana dikhuatiri bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jais, Fakhrul Azam Yahya berkata, imam dan guru agama dari India bukan bermahzhab Imam Shafie, malah sesetengahnya berpegang kepada fahaman Syiah.

Beliau berkata, umat Islam di Malaysia berpegang kepada Ali Sunnah dan bukannya Syiah yang menjadi anutan masyarakat Islam dari India, Pakistan dan beberapa negara lain.

Selain itu, katanya, Jais telah mengesan banyak penyelewengan, termasuk terbabit dengan ajaran sesat yang dibawa oleh pendatang India Muslim tersebut.

"Kebimbangan utama Jais ialah mengenai merebaknya kes-kes ajaran sesat yang dibawa oleh golongan India Muslim dari India," katanya.

Menurut Fakhrul lagi, selain tidak diketahui latar belakang mereka, bahasa Tamil yang mereka gunakan juga hanya difahami oleh masyarakat India Muslim.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Jais tidak menyokong permohonan visa yang dibuat oleh imam dan guru agama dari India untuk mengajar di Selangor.

Turut berniaga

Katanya, pendatang tersebut juga datang ke Selangor bukan semata-mata untuk menjadi imam atau guru agama tetapi turut membabitkan diri dengan perniagaan.

"Berikutan itu, Jais tidak lagi menyokong sebarang permohonan untuk membawa masuk imam dan guru agama keturunan India Muslim dari India untuk bertugas di Selangor," katanya.

Menurutnya, Jabatan Imigresen akan merujuk kepada Jais terlebih sebelum meluluskan sebarang permohonan untuk membawa masuk imam dan guru agama dari India.

Fakhrul berkata, bagi mengatasi masalah tersebut, Jais bersedia untuk menyediakan latihan kepada persatuan India Muslim tempatan untuk melahirkan imam dan guru agama di kalangan mereka.

Katanya, adalah tidak munasabah mereka tidak boleh menyediakan imam dan guru agama di kalangan masyarakat India Muslim yang menetap di negara ini kerana jumlah mereka yang ramai.

Ditemuduga Jakim

Sementara itu, Timbalan Presiden Kebangsaan Kimma, Syed Ibrahim Kadir berkata, tindakan Jais itu boleh menyebabkan semua masjid dan madrasah yang dikendalikan oleh masyarakat India Muslim di Selangor terpaksa ditutup kerana imam dan tenaga pengajarnya adalah warganegara asing dari India.

Beliau berkata, Jais patut menarik balik keputusan itu memandangkan tenaga pengajar dari India itu telah menjalani sesi temuduga di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan kelayakan dan pengalaman mereka sebelum visa dikeluarkan.

"Tapisan oleh Jakim itu sudah memadai untuk memilih tenaga pengajar dari India," katanya.

Menurutnya, langkah Jais itu akan menimbulkan beberapa masalah kepada masyarakat India Muslim, seperti kehilangan tempat mendapatkan khidmat nasihat, terutamanya bagi mualaf, selain banyak program dan aktiviti keagamaan tidak dapat dijalankan dan dikhuatiri menjejaskan hubungan silaturahim antara mereka.

Syed Ibrahim berkata masalah itu diburukkan lagi dengan kurangnya minat tenaga pengajar tempatan untuk mengajar di masjid atau madrasah disebabkan gaji yang rendah iaitu sekitar RM450 hingga RM500 sebulan.