Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendakwa program pemulihan di kem tahanan (Kemta) kurang berkesan dan ia perlu dikaji supaya mereka dapat menjalani proses pemulihan yang menyeluruh.

Pesuruhjaya Suhakam, Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan berkata, perkara tersebut diperolehi ketika suruhanjaya itu melawat Kem Tahanan ISA di Kamunting baru-baru ini.

"Perkara ini dinyatakan sendiri oleh tahanan terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Seorang lagi pesuruhjaya, Datuk N Siva Subramaniam serta beberapa pegawai dari Bahagian Aduan dan Siasatan Suhakam ikut serta dalam lawatan tersebut. Kem tahanan Kamunting mempunyai 117 tahanan, termasuk dua orang di pusat tahanan polis.

Prof Hamdan juga menggesa Kementerian Keselamatan Dalam Negeri supaya membebaskan segera tahanan yang menunjukkan perubahan sikap dan pemikiran, setelah menjalani pemulihan di kem tersebut.

Menurutnya, beberapa isu telah dibangkitkan oleh tahanan termasuk gangguan anggota kem tahanan (Kemta) terhadap isteri dan anak-anak mereka dan diberitahu bahawa anggota terbabit telah dipindah ke tempat lain.

'Tidak boleh salam'

"Ahli keluarga tahanan juga memberitahu, mereka tidak dibenarkan menyentuh atau bersalaman dengan tahanan sewaktu perjumpaan. Kemta menjelaskan ia adalah arahan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri melalui Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia," kata Prof Hamdan.

Beliau berkata, tahanan juga mendakwa bahawa kad ucapan dan surat tidak diserahkan kepada para tahanan, tetapi pihak Kemta menafikannya dan menjelaskan mungkin lewat diserahkan kepada mereka.

Prof Hamdan berkata, Suhakam juga diberitahu bahawa kad ucapan dan surat yang tidak mempunyai isu kandungan yang sensitif, seperti menghina kerajaan atau unsur subversif, akan diserahkan kepada tahanan.

"Dalam pertemuan tersebut, tahanan juga memberitahu, mereka tidak mendapat bekalan buah-buahan. Dalam jawapannya Kemta memberitahu setiap tahanan diberi RM60 untuk membeli buahan-buahan di kem tersebut," katanya.

Menurut Prof Hamdan lagi, Kemta juga memaklumkan bahawa sebarang perubahan peraturan lawatan sentiasa diberitahu kepada isteri tahanan secara lisan semasa lawatan dan juga melalui poster.

Barangan peribadi dirampas

Beliau berkata, para tahanan juga mengadu bahwa mereka sukar untuk mendapat keperluan ubat-ubatan di Kemta serta ubat gigi yang tidak berkualiti.

"Kami meminta Kemta memantau keperluan bekalan asas tahanan selain memberikan kertas secukupnya kepada mereka," katanya.

Beliau berkata, tahanan juga mengadu bahawa pihak Kemta merampas barangan peribadi dan sehingga kini tidak mengetahui status barangan tersebut.

Katanya, tahanan telah membuat laporan polis mengenai kehilangan barangan tersebut tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas dari pihak atasan.

Sehubungan itu, katanya, Kemta disaran memberikan penjelasan kepada tahanan supaya mereka dapat mengetahui kedudukan sebenar mengenai barangan peribadi yang dirampas itu.