Kempen tambah ahli Puteri Umno gagal capai sasaran
Pergerakan Puteri Umno masih gagal mencapai sasaran 100,000 keahlian untuk tahun ini walaupun kempen menambahkan ahli dilancarkan Mac lalu.
Pergerakan Puteri Umno masih gagal mencapai sasaran 100,000 keahlian untuk tahun ini walaupun kempen menambahkan ahli dilancarkan Mac lalu.
Ketuanya, Noraini Ahmad berkata, banyak borang keahlian dikesan masih tersangkut di peringkat bahagian di seluruh negara, yang membantutkan usaha pergerakan itu mencapai sasarannya itu.
"Kempen penambahan ahli ini ialah sesuatu yang perlu dilakukan kerana setiap tahun kita akan kehilangan ramai ahli ekoran faktor had umur. Justeru, pertambahan ahli itu akan menjadi pelapis kepada ahli yang akan luput kelayakannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen "Drop A Book dan Jom Baca" di Pantai Balok, dekat Kuantan hari ini.
Pada tahun ini sahaja, katanya, pergerakan itu akan kehilangan 10,000 ahli kerana faktor umur berbanding 5,000 orang tahun lalu.
Berikutan itu, beliau menyeru semua ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam kempen ini supaya turun ke peringkat bahagian dan cawangan untuk mengumpul semua borang yang "tersangkut" untuk diproses segera.
Bernama difahamkan, 150,000 ahli berjaya didaftarkan tahun lalu, dan kajian mendapati ramai pelajar sekolah yang berusia melebihi 16 tahun serta penuntut institut pengajian tinggi berminat menganggotai pergerakan itu, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana tidak tahu bagaimana mendaftar.
Dalam perkembangan lain, Noraini berkata kempen "Drop A Book" berjaya mengumpul lebih 400,000 buku terpakai dari seluruh negara dan beliau yakin, sasaran sejuta buku akan dapat dicapai menjelang akhir tahun ini.
"Walaupun sasaran ditetapkan pada akhir tahun ini, tetapi kita akan tetap meneruskan kempen tersebut kerana kesedaran membaca tidak perlu tarikh luput. Ia perlu sentiasa ada dalam diri kita," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.