Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan tarik balik RUU Skim Insurans Pekerjaan

PARLIMEN l Kementerian Sumber Manusia hari ini menarik balik Rang Undang-Undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) 2017 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Ogos lalu.

RUU itu disenaraikan dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat, tetapi menterinya Datuk Seri Dr Richard Riot berkata ia akan ditark balik.

Katanya, ini kerana kerajaan akan membentangkan RUU SIP 2017 yang baru dalam Dewan Rakyat minggu ini.

"RUU baru ini dijangka dibentangkan untuk bacaan kedua pada Rabu atau Khamis. Kerajaan komited untuk melaksanakan SIP 2017 mulai Januari 2018," katanya dalam satu kenyataan.

Ketika ditanya kemudian berhubung RUU baru itu, Riot berkata kebanyakan kandungannya sama dengan yang sebelumnya, kecuali beberapa "pindaan kecil".

RUU itu bertujuan memberikan faedah dan perlindungan kepada individu yang kehilangan pekerjaan, antaranya pembayaran elaun mencari pekerjaan dan elaun pendapatan berkurangan.

Pekerja perlu membuat caruman kepada badan yang ditubuhkan khusus iaitu 'Kumpulan Wang Insurans Pekerjaan' sekurang-kurangnya 12 bulan bagi melayakkan mereka membuat tuntutan.

Mereka yang terlibat boleh membuat tuntutan sehingga enam bulan mereka hilang pekerjaan. Untuk bulan pertama, tuntutan boleh dibuat sehingga RM4,000, dan akan dikurangkan untuk bulan selanjutnya.

Richard berkata lagi, pelaksanaan RUU ini akan merangkumi semua majikan dan pekerja sektor swasta, dengan jumlah keseluruhan kira-kira 430,000 majikan dan 6.6 juta pekerja.

Awal bulan ini, beliau memaklumkan kadar caruman diturunkan daripada 0.5 peratus kepada 0.2 peratus, selepas mendapat kritikan beberapa pihak.

 

Lihat Komen
ADS