Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tanah runtuh: MBPP lapor polis kemungkinan pemaju cuai

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membuat laporan polis berkenaan insiden tanah runtuh di Tanjung Bungah bagi membolehkan siasatan terhadap kemungkinan berlakunya "kecuaian ketika bekerja" oleh pemaju dapat dimulakan secepat mungkin, kata Exco kerajaan negeri Chow Kon Yeow.

Katanya, kerajaan negeri mengarahkan MBPP berbuat demikian dan ia selaras dengan Seksyen 304(a) dan (b) Kanun Keseksaan.

Beliau juga menggesa semua agensi kerajaan negeri memberikan kerjasama kepada polis dalam siasatan itu.

"Ini untuk memastikan semua pihak yang didapati melakukan kesalahan akan memikul tanggungjawab mengikut undang-undang.

"Tujuan laporan agar polis dapat menakwa mana-mana pihak yang didapati melakukan 'kecuaian ketika bekerja' yang membawa kepada kemalangan yang meragut 11 nyawa ini,"katanya pada sidang media di Komtar, hari ini.

Tanah runtuh itu berlaku pada 21 Oktober lalu di tapak projek pembinaan 980 rumah mampu milik oleh Taman Sri Bunga Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat Boon Siew Group.

Ketua Menteri Lim Guan Eng menyifatkan insiden yang meragut nyawa seorang pekerja Malaysia dan 10 pekerja asing sebagai 'kemalangan tempat kerja'.

Lim juga memberi jaminan siasatan penuh akan dibuat menerusi suruhanjaya siasatan negeri yang akan melaporkan terus kepada gabenor.

Kerajaan juga menyenaraihitamkan syarikat pemaju dan menghentikan kerja pembinaan sehingga selesai siasatan.

Lihat Komen
ADS