Dewan Rakyat lulus RUU Sistem Insurans Pekerjaan
Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) 2017 dalam sidang maraton sehingga lewat tengah malam tadi.
Dewan yang mula bersidang pada jam 10 pagi, menghentikan jam untuk membolehkan sidang diterus melewati tengah malam. RUU itu dibahas dari jam 7 malam.
Ahli Parlimen BN, bersama-sama dengan ahli parlimen pembangkang dari PKR, DAP, PAS dan PSM yang mengambil bahagian, menyokong rang undang-undang itu. BERSATU dan WARISAN tidak membahaskan RUU itu.
EIS akan mewujudkan dana, dikumpulkan dari majikan dan pekerja, yang akan memberikan pampasan sehingga enam bulan kepada pekerja yang diberhentikan.
Sebelum pengundian, ahli Parlimen pembangkang membuat beberapa percubaan untuk memperkenalkan apa yang dakwa sebagai penambahabaikan kepada RUU itu.
Semasa pembacaan ketiga, iaitu di peringkat jawatankuasa, Charles Santiago (DAP-Klang) mengusulkan satu pindaan kepada rang undang-undang itu di mana kerajaan juga akan menyumbang kepada EIS.
Walau bagaimanapun, usulnya ditolak oleh Dewan.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata kerajaan tidak perlu menyumbang kepada skim itu kerana ia sudah memperuntukkan RM120 juta dalam dana sementara.
Charles juga telah membahaskan bahawa pampasan sehingga enam bulan tidak mencukupi dan perlu ditingkatkan hingga setahun. Dia mendakwa enam bulan tidak mencukupi untuk melatih semula pekerja yang diberhentikan kerja.
Beliau menambah, skim itu juga perlu menampung pasangan suami isteri yang diberhentikan kerja.
Semasa perbahasan, Shamsul Iskandar Md Akin (PKR-Bukit Katil) juga menyokong rang undang-undang itu tetapi mahu kerajaan memastikan ia menjadi mekanisme keselamatan sosial yang berkesan.
Beliau juga menggesa kerajaan mempertimbangkan membenarkan pekerja-pekerja yang ditamatkan pekerjaan atas sebab tatatertib layak menerima dana itu, dengan menyatakan bahawa mereka juga merupakan penyumbangnya.
Dr Michael Jeyakumar Devaraj (PSM-Sg Siput) berkata pekerja yang diberhentikan hanya akan menerima bersamaan 2.7 bulan gaji sebagai pampasan dalam tempoh enam bulan di bawah EIS.
Di bawah Akta Pekerjaan, katanya, pekerja yang bekerja selama 10 tahun layak menerima pampasan gaji tujuh bulan.
Oleh itu, tambahnya, pampasan yang diberikan di bawah EIS tidak banyak, namun dia mengganggap EIS sebagai satu permulaan yang baik.
"Kita hanya perlu memperluaskan (kuantum pampasan)," katanya.
Menjawab hujah-hujah ini, menteri berkenaan dalam jawapannya berkata penyelidikan yang ditunjukkan menunjukkan bahawa pekerja yang diberhentikan boleh dilatih semula dalam masa enam bulan.
Beliau menambah memasukkan pasangan pekerja yang diberhentikan kerja dalam EIS boleh mendedahkan kepada penyalahgunaan, seperti pemilik perniagaan mengupah pasangan mereka sebagai pekerja dan kemudiannya memberhentikan mereka untuk menerima manfaat.
Riot juga menegaskan bahawa kadar sumbangan 0.2 peratus adalah yang terendah di rantau ini, kerana Thailand dan Vietnam telah menetapkan kadar caruman masing-masing pada 1.25 peratus dan tiga peratus.
Sidang ditangguhkan pada pukul 12.15 tengah malam.
Rang undang-undang EIS, yang ditarik balik pada hari Isnin dan dibentangkan semula keesokan harinya, menurunkan kadar caruman yang akan dibayar oleh majikan dan pekerja dari 0.5 peratus kepada 0.2 peratus.
Kadar sumbangan yang disemak semula itu, yang berdasarkan pada kadar tetap, ialah dari 10 sen bagi pekerja yang memperolehi pendapatan RM30 sebulan, kepada RM39.50 bagi pekerja yang memperoleh pendapatan RM4,000 dan ke atas, sebulan.
Sistem itu akan dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Rang undang-undang itu dijadual berkuatkuasa pada 1 Januari 2018, manakala pembayaran akan bermula pada 2019.
[Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan EIS yang bertujuan menyediakan insurans bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan dengan faedah bantuan kewangan sementara, diluluskan dengan pindaan selepas dibahaskan oleh 14 anggota Parlimen.
Menteri sumber manusia ketika menggulung RUU berkenaan berkata melalui sistem insurans itu, pekerja yang hilang pekerjaan akan diberikan latihan untuk kembali ke alam pekerjaan.
“Ini termasuk kepada golongan yang telah berumur antara 40 hingga 50 tahun yang boleh dipadankan dengan latihan bersesuaian,” katanya.
Terdahulu, ketika membentang RUU itu untuk bacaan kali kedua, Riot berkata sistem insurans berkenaan memperuntukkan caruman berkadaran 0.4 peratus daripada gaji yang diinsuranskan (GYD), iaitu majikan dan pekerja masing-masing menyumbang 0.2 peratus kepada caruman insurans itu.
Beliau berkata ia penting bagi membantu pekerja yang hilang pekerjaan khususnya jika berlaku kegawatan atau kejatuhan ekonomi.
Katanya, sebagai sebuah negara perdagangan yang semakin berintegrasi dengan rantaian ekonomi global, risiko pendedahan dengan impak kejatuhan ekonomi tidak dapat dielakkan.
"Pada tahun 2015, lebih 44,000 orang kehilangan pekerjaan yang antara lain berpunca dari langkah automasi dalam sektor kewangan, penstrukturan syarikat dan kejatuhan harga minyak mentah di pasaran dunia. Pada 2016, lebih 38,000 orang kehilangan pekerjaan dengan majoriti dalam bidang peruncitan, pembuatan dan pengkuarian," katanya.
Bagi majikan, Riot berkata pelaksanaan sistem insurans itu dapat meningkat produktiviti syarikat melalui pekerja yang telah mengikuti peningkatan kemahiran dan latihan semula di samping dapat mengurangkan tekanan sekiranya timbul keperluan mengurangkan kos, mengecilkan operasi atau syarikat muflis.
Persidangan disambung hari ini.

