Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Husam: Bukan Dr M sahaja, Hadi juga perlu bertaubat

Ketika Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad bertaubat atas dakwaan kesalahan ketika menjadi perdana menteri, presiden PAS itu juga perlu beringat untuk melakukan perkara sama, kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan Datuk Husam Musa.

Beliau mendakwa antara kesalahan Abdul Hadi terhadap umat Islam di Malaysia, adalah 'amanatnya' pada 1981 yang didakwa antara punca perpecahan umat Islam ketika itu.

"Dosa dengan rakyat Malaysia, umat Islam sebab dia fatwakan Perlembagaan Persekutuan sebagai sekular, warisan penjajah," katanya ketika berucap di majlis pelancaran jentera pilihan raya umum (PRU) ke-14 Parlimen Kubang Kerian di Wisma Tok Guru, Kota Bharu, malam tadi.

Tetapi kini, kata Husam lagi, Abdul Hadi nampaknya tiada masalah dengan perlembagaan malah membangkitkan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

"Sebab itu saya kata dia pun kena taubat," katanya lagi.

Ketika sesi penggulungan Muktamar PAS ke-63 Mei lalu, Abdul Hadi antaranya menggesa Pendaftar Pertubuhan (ROS) memantau parti politik dan organisasi yang dilihat tidak menghormati perlembagaan, terutama yang berkaitan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

"Dosa Hadi pada saya seorang pun banyak juga. Demo (anda) aniaya kawe (saya)," katanya lagi, merujuk pemecatannya daripada parti itu Mei tahun lalu.

Beliau mengulas kenyataan Hadi pada 20 Oktober lalu, yang menggesa Mahathir bertaubat kerana menurutnya menjadi punca kepada kerosakan sistem negara, pengurangan kuasa Raja-raja Melayu, amalan demokrasi tempang dan mentadbir negara secara diktator.

Dalam wawancara dengan Sinar Harian itu, Hadi juga berkata undian terhadap HARAPAN sama seperti "mengundi dan mengiakan kezaliman Mahathir".

Ia bagi membalas kenyataan Mahathir sebelum ini yang berkata undian terhadap PAS seperti mengundi BN.

Husam menyifatkan penyertaan Mahathir dalam HARAPAN sebagai 'rezeki' yang memberi peluang untuknya memperbaiki kesilapan ketika menjadi perdana menteri.

"Kalau dia berjihad nak betulkan balik negara ini, Tuhan bagi peluang panjang umur kerana tugas ini, rezeki dia. Apa masalahnya?

"Hadi suruh Mahathir bertaubat, walhal dia pun kena bertaubat, semua orang perlu bertaubat," kata naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu lagi.

Pecat sebab khianat

Menjawab kecaman itu, Ketua Penerangan PAS Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud (gambar) mengingatkan kembali 'pengkhianatan' Husam dan sejumlah lagi bekas pemimpin yang meninggalkan parti untuk menubuhkan AMANAH.

"Saya lihat sekarang dia (Husam) sudah tidak ketahuan. Itulah bala yang diterima selepas melanggar baiah," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Karnival Toyyiba 2017 di Kota Bharu,  hari ini.

Beliau yang digelar 'singa PAS' itu berkata, Husam sememangnya wajar dipecat kerana mengkhianati parti itu.

"Kalau dia suruh Tok Guru Hadi bertaubat dengan alasan PAS pecat dia, saya nasihatkan orang yang mengkhianati baiah itu perlu bertaubat," katanya lagi.

Baiah merupakan sumpah yang diperkenalkan ketika PAS bersama Parti Melayu Semangat 46 pada 1995. Ketika itu, kerajaan Kelantan pimpinan PAS berhadapan masalah selepas beberapa wakil rakyatnya melompat parti.

Melalui sumpah baiah itu, perkahwinan seseorang wakil rakyat akan terbubar dengan talak tiga jika meninggalkan PAS. 

Lihat Komen
ADS