Thailand dan Malaysia sedang bekerjasama rapat untuk memulihkan keamanan di wilayah selatan Thai berikutan tindakan 131 penduduk Islamnya lari mencari perlindungan di Malaysia, kata Kementerian Luar Thailand.

Jurucakapnya, Sihasak Phuangketkeow menyifatkan ulasan seorang pemimpin parti Islam Malaysia Sabtu lalu bahawa masalah di wilayah selatan Thai mesti diselesai melalui perundingan, dan bukannya melalui keganasan juga tidak membantu.

Katanya, kedua-dua negara sedang bekerjasama untuk menyelesai status 131 penduduk Islam Thai itu.

"Adalah amat penting bagi para pegawai kanan mengelak daripada menyuara pendapat yang boleh menjejaskan kerjasama antara kedua belah pihak," katanya.

Penduduk Islam Thai yang lari masuk ke Kelantan minggu lalu, tanpa dokumen sah, berkata mereka terpaksa meninggalkan kampung halaman merekqa di wilayah Narathiwat selepas ketibaan pasukan tentera.

Menurut laporan AP, penduduk tersebut mengesyaki pihak berkuasa turut terbabit dalam kes pembunuhan seorang guru agama yang ditembak mati.

Pergolakan meningkat

Mursyidul Am PAS dan yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, dilaporkan berkata, keganasan akan meningkat kecuali Thailand, yang majoriti rakyatnya penganut Buddha, menangai rasa tidak puashati penduduk Islam di wilayah selatannya.

"Kenyataan tersebut, sama ada dibuat secara sengaja atau tidak, bercanggah dengan kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Thailand," kata Sihasak.

Sihasak berkata, kenyataan Nik Aziz itu menunjukkan yang beliau tidak menyedari wujudkan usaha-usaha yang sedang dibuat oleh Bangkok untuk memulihkan keamanan di wilayah tersebut.

Hampir 900 orang terbunuh dalam tempoh 20 bulan lalu di wilayah selatan Thai itu, dalam serangan-serangan yang mengikut para analisa, dilakukan oleh puak pemisah, kumpulan penjenayah terancang dan penyeludup dadah.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra menuduh puak militan Islam cuba 'mengantarabangsakan' pergolakan di wilayah selatan, dengan mendakwa penduduk Islam yang lari ke Kelantan itu sebenarnya 'anggota militan yang menyamar'.

Pada hari yang sama Menteri Luar Thai, Khantathi Suphamongkhon pula membuat kenyataan yang bercanggah dengan perdana menterinya, apabila berkata mereka itu adalah orang awam yang tidak bersalah dan akan dibawa balik ke Thailand.

KSU lawat pelarian

Sementara itu, Bernama melaporkan, Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Datuk Abdul Aziz Yusoff hari ini membuat lawatan ke penempatan sementara 131 pelarian Thailand di Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah.

Katanya lawatan itu bagi membolehkan beliau melihat keadaan pelarian terbabit yang kini ditempatkan sementara bersama pendatang tanpa izin.

"Saya hendak tengok sendiri, tidak mahu dengar cakap orang sahaja. Saya datang untuk melihat keadaan keselamatan," katanya ketika ditemui selepas mendengar taklimat di pejabatan Bahagian Keselamatan Negara di Wisma Perbadanan di Kota Bharu.

Abdul Aziz juga melawat tempat persinggahan awal kumpulan pendatang itu di masjid Gual Tinggi di Pasir Mas dan Masjid Pengkalan Kubor di Tumpat.

Ketika ditanya sama ada bilangan pendatang itu mungkin bertambah, beliau berkata : "Tidak ada. Mereka kekal seramai 131 orang."

Kumpulan pelarian itu dari selatan Thailand melarikan diri dan memasuki Malaysia melalui beberapa pangkalan haram di sempadan, kerana dilaporkan takut dengan tindakan pihak berkuasa negara itu yang menahan dan menembak mati orang yang didakwa dari kumpulan militan.