Azalina kecewa sukar dapat peruntukan untuk belia
Kementerian Belia dan Sukan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan peruntukan yang mencukupi untuk meneruskan program beliau di seluruh negara.
Kementerian Belia dan Sukan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan peruntukan yang mencukupi untuk meneruskan program beliau di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Azalina Othman Said berkata, dalam pada Perdana Menteri membuat kenyataan mengenai pembangunan sumber manusia, tumpuan sepatutnya diberikan kepada belia, tetapi agensi seperti Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, seolah-olah tidak memahaminya.
"Saya sangat terkilan kerana adakalanya mereka tidak faham. Mereka mahu kita menjaga belia tetapi masalahnya peruntukan tak cukup," katanya pada sesi dialong dengan wakil daripada 70 majlis belia daerah di Putrajaya.
"Jadi apa yang boleh dilakukan oleh pergerakan belia? Kementerian sudah mengemukakan cadangan tetapi tak ada respons. Saya gesa anda di akar umbi tidak patah semangat untuk mengemukakan isu ini," katanya.
Mereka yang menganggotai parti-parti politik pula perlu cuba mengetengahkan perkara ini pada mesyuarat-mesyuarat cawangan dan bahagian, katanya sebelum menyerahkan cek bantuan pentadbiran kepada mereka.
Janji atasi masalah
Azalina berkata demikian semasa mengulas soalan mengenai masalah-masalah yang dihadapi pergerakan belia, termasuk bila mereka akan mendapat bantuan tambahan daripada sejumlah RM20,000 yang diterima setiap majlis belia daerah sekarang.
Menurut laporan Bernama, beliau bagaimanapun berjanji akan berusaha sedaya mungkin bagi mengatasi masalah itu.
"Saya bersetuju RM20,000 tak cukup. Namun itulah peruntukan yang kita dapat. Mereka (pihak berkuasa kewangan) tidak mahu beri lebih. Mungkin mereka lihat apa yang kita buat seperti program pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.
Azalina berkata hakikatnya banyak NGO yang tidak meminta bantuan kerajaan mempunyai banyak wang, ada antara mereka mendapat sumbangan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.
Dalam ucapannya sebelum itu, Azalina menggesa majlis belia daerah menilai semula perlembagaan masing-masing supaya seiring dengan trend semasa dalam pembangunan belia.
Beliau juga membidas mereka yang belum mengemukakan laporan tahunan, sambil berkata ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan tadbir urus agensi-agensi belia mesti berada pada tahap terbaik.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.