Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Datin Rosniah Abdul Rahman, isteri bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Annuar Musa, ialah ahli Lembaga Pengarah syarikat pembinaan yang terbabit dalam projek pembangunan kemudahan rekreasi di Tasik Puteri, Bukit Besi Terengganu.

Syarikat Visage Fortune Sdn Bhd, yang dipertanggungjawabkan untuk membina chalet di situ, dimiliki jutawan Ooi Kee Siang dan Rosniah ialah ahli lembaga pengarahnya, kata bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Aziz.

Abdul Aziz bagaimanapun berkata beliau tidak tahu bahawa Rosniah dilantik menjadi ahli lembaga pengarah. Rosniah dilantik memegang jawatan itu pada 27 Disember 1999.

Dalam keterangan membela diri, Abdul Aziz yang bersara lima hari selepas Rosniah dilantik, berkata beliau tidak mempunyai kepentingan dalam syarikat Visage Fortune itu.

Abdul Aziz berkata demikian ketika menjawab soalan peguamnya Mohd Firuz Jaffril setelah diperintah membela diri terhadap tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan penipuan berhubung wang Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

Abdul Aziz, 60, didakwa menipu Menteri Kewangan II Datuk Mustapa Mohamed (pada masa itu) supaya mempercayai bahawa cadangan pelaburan Ketengah dalam projek tanaman orkid, ternakan ikan dan kemudahan rekreasi di Tasik Puteri sebagai berdaya maju.

Menurut laporan Bernama, penipuan itu didakwa dilakukan melalui surat-surat permohonan persetujuan pelaburan Ketengah sebanyak RM9 juta dalam Tasik Puteri Integrated Farm (M) Sdn Bhd.

Ahli perniagaan itu juga didakwa bersubahat dengan bekas Pengurus Besar Ketengah Datuk Alwi Said dan Ooi (yang masih bebas) melakukan pecah amanah dana Ketengah sebanyak RM2 juta antara 27 April dan 31 Julai 1999, di Kompleks Kewangan Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur.

Abdul Aziz juga berkata Ketengah mempunyai kuasa untuk meluluskan pinjaman kepada mana-mana pihak untuk pelaksanaan projek tanpa perlu mendapatkan kelulusan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan persetujuan Kementerian Kewangan.

"Saya pasti Ketengah ada peruntukan undang-undang untuk memberikan pinjaman kepada mana-mana pihak untuk melaksanakan sesuatu projek," katanya.

Semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Dzulkifli Ahmad, Abdul Aziz mengakui Seksyen 27 Akta Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah 1973, memberi kuasa kepada lembaga untuk memberi pinjaman serta tertakluk kepada syarat dan terma yang disediakan.

Dia juga bersetuju dengan soalan Dzulkifli yang mencadangkan bahawa Lembaga Pengarah mempunyai kuasa tetapi kuasa itu bukan terletak di tangan mana-mana individu atau pengerusi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Zaki Abdul Wahab bersambung esok.