Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Sedang angka dan fakta menjadi semakin jelas, saya percaya rumusan awal sudah boleh dibuat mengenai Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Dato’ Seri Najib Razak dalam Dewan Rakyat semalam.

Bajet 2018 dengan temanya yang panjang, merupakan bajet berunsur fiksyen yang terhebat dalam sejarah negara dan oleh itu, layak menjadi pemenang anugerah filem fiksyen terbaik Malaysia!

Ada beberapa sebab mengapa saya katakan demikian.

Pertama, pelbagai peruntukan dan pemberian diumumkan dengan sepintas lalu dan penuh bangga namun dari manakah Datuk Seri Najib akan mencekau wang defisit sejumlah RM40.39 bilion akibat daripada unjuran perbelanjaan Bajet 2018 sebanyak RM280.25 bilion yang melebihi hasil sebanyak RM239.86 bilion?

Walaupun disedari bahawa lazimnya, defisit akan ditampung melalui pinjaman atau hutang namun umum mengetahui bahawa hutang negara sudah tinggi iaitu hampir mencecah siling nisbah hutang-KDNK sebanyak 55%.

Itu belum dikira hutang kontingensi yang tidak dimasukkan dalam Bajet kerajaan seperti 1MDB, MRT dan Felda. Apakah tambahan hutang RM40.39 bilion sangat perlu?

Sudahkah kerajaan mengambil kira kadar faedah yang terpaksa dibayar ke atas hutang itu yang dianggarkan berjumlah RM31 bilion atau lebih kurang 15% daripada perbelanjaan operasi negara?

Apakah rakyat kini dicukai untuk membayar hutang atau untuk mendapat manfaat daripada cukai tersebut?

Dalam masa yang sama, mengapakah kerajaan tidak meletakkan keutamaan kepada pembanterasan rasuah, pembaziran dan ketirisan sebagai langkah penjimatan penting kepada perbelanjaan yang terus mengembung?

Saya langsung tidak nampak komitmen kerajaan dalam hal ini.

Belanjawan Pakatan Harapan dengan jelas meletakkan asas prinsipnya kepada premis ini dan menolak cukai regresif GST sebagai langkah penampungan perbelanjaan negara malah dengan berani meletakkan angka RM20 bilion sebagai penjimatan daripada ketirisan dan rasuah termasuk memotong peruntukan Jabatan Perdana Menteri yang diketahui sangat kembung.

Kedua, terdapat penurunan peruntukan beberapa perkara penting jika dibandingkan dengan Bajet tahun lalu walaupun pengumuman yang dibuat oleh Dato’ Seri Najib kedengaran sangat hebat.

Contohnya, perbelanjaan untuk pendidikan dan latihan yang diumumkan peruntukan sebanyak RM5.2 bilion. Namun apabila disemak peruntukan Bajet tahun lalu, ia sebenarnya lebih tinggi, iaitu RM5.9 bilion. Bermakna ada penurunan peruntukan dalam Bajet tahun ini.

Ketiga, jurang perbezaan peruntukan yang ketara antara pemberian kepada rakyat secara langsung dan dana yang diperuntukkan kepada projek atau inisiatif tertentu.

Contohnya, walaupun diumumkan bayaran khas bagi penjawat awam sebanyak RM1,500 bagi penjawat awam, bayaran 'one-off' sebanyak RM1,500 kepada Imam, Bilal, guru KAFA dan Takmir serta elaun bagi warga emas dan OKU dinaikkan kepada RM350 and RM100 masing-masing, namun jumlah peruntukan bagi pemberian-pemberian itu adalah kecil jika dibandingkan dengan peruntukan kepada misalnya Dana Pembangunan Pengangkutan dengan peruntukan RM3 bilion.

Siapakah yang mendapat faedah daripada dana begini? Sudah tentu bukan rakyat biasa.

Isu utama rakyat iaitu kos sara hidup jelas tidak ditangani oleh Bajet 2018. Antara sebab utama kenaikan kos sara hidup ialah kenaikan harga barang, cukai GST dan gaji yang rendah.

Apakah Bajet 2018 mengutarakan dasar untuk menangani kos sara hidup selain daripada pemberian segera seperti BR1M dan bayaran khas 'one-off'?

Sedang Belanjawan Pakatan Harapan mengesyorkan pemansuhan GST dan memperincikan kaedah menampung kekurangan hasil akibat daripadanya, Bajet 2018 masih mengekalkan GST malah memberikan pelepasan kepada perkara-perkara yang tidak meringankan beban rakyat secara langsung.

Contohnya, pelepasan GST ke atas operator kapal persiaran (cruiser) dan ke atas pengimportan big ticket items seperti kapal terbang dan kapal oleh syarikat penerbangan dan perkapalan.

Apakah faedah pelepasan itu akan sampai kepada rakyat biasa yang terhimpit dengan derita kehidupan?

Lambakan pekerja asing

Akhir sekali, berkait dengan gaji yang rendah dan lambakan pekerja asing, amatlah jelas bahawa Bajet 2018 juga tidak menyentuh tentang kenaikan gaji minimum.

Kadar semasa sebanyak RM1,000 bagi Semenanjung dan RM920 bagi Sabah dan Sarawak tidak boleh lagi dianggap sebagai jumlah sara hidup yang wajar di Malaysia.

Belanjawan Pakatan Harapan meningkatkan kadar gaji minimum kepada RM1,500 untuk seluruh negara. Inilah kadar yang dituntut oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang.

Justeru, demi ekonomi yang makmur, imbangan antara duniawi dan ukhrawi dan demi kesejahteraan sebenar kehidupan rakyat, saya sarankan untuk Datuk Seri Najib dan kerajaan Umno BN untuk bersikap ikhlas dan jujur dalam mengunjurkan belanjawan.

Jika tidak, akuilah bahawa Bajet 2018 yang dikatakan ibu segala bajet itu hanyalah sebuah fiksyen.

 


 

SYED IBRAHIM SYED NOH ialah Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS