Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bajet 2018: Bukti perhatian buat Sabah, Sarawak

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberikan perhatian yang tinggi kepada Sabah dan Sarawak dalam pembentangan Bajet 2018 pada Jumaat lepas.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata peruntukan bajet kepada dua negeri itu menunjukkan keprihatinan Najib dan ketekunan perdana menteri mendengar nadi rakyat.

"Rata-rata keluhan daripada rakyat tidak ada kerana tidak ada satu sektor pun yang tidak disentuh dalam bajet kali ini.

"Saya melihat bajet ini sebagai satu bajet inklusif yang merangkumi semua lapisan rakyat," katanya ketika ditemui Bernama pada majlis penutupan Program Tintec Agronomia di Kampung Seberang Benoni dekat Papar malam tadi.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Papar berkata peruntukan RM1.1 bilion untuk pembangunan dan pembaikan kemudahan infrastruktur di Sabah mampu merancakkan lagi ekonomi negeri, sekali gus memperbaiki kehidupan rakyat.

"Selain infrastruktur, kita juga telah melihat satu peruntukan yang besar iaitu RM1 bilion untuk pembaikan sekolah-sekolah daif di Sabah dan RM1 bilion lagi untuk Sarawak kerana umum tahu sekolah daif di Sabah dan Sarawak sangat ketara," tambahnya.

Rosnah turut berterima kasih kepada perdana menteri atas pengiktirafannya kepada golongan wanita dalam bajet itu sebagai tanda menghargai sumbangan wanita kepada negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS