Paling Popular
Terkini

Dr Huang Huikang yang akan mengucapkan selamat tinggal kepada Malaysia esok selepas empat tahun berkhidmat sebagai Duta Besar China, pastinya merupakan diplomat asing paling berprofil tinggi yang ditugaskan di sini yang pernah dilihat dan diketahui oleh rakyat Malaysia.

Pendedahan beliau dalam media-media tempatan mungkin dicemburui diplomat lain tetapi semua itu berlaku secara semula jadi ekoran keakraban hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang mencecah 1,390 hari secara tepatnya, menunjukkan beliau tokoh penting China di sini.

Ia juga berbetulan dengan apa yang dipanggilnya sebagai ulang tahun Berlian 40 Tahun hubungan diplomatik yang diusahakan perdana menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein dan legasi itu diperkukuhkan lagi oleh anak beliau Datuk Seri Najib sejak menjadi perdana menteri pada 2009.

“Hubungan dua hala itu kini memasuki tempoh terbaik dalam sejarah dan sentiasa diutamakan dalam hubungan China dengan negara-negara Asean,” kata Dr Huang pada majlis makan malam perpisahan yang dihoskan beliau di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Pelaburan langsung asing China dengan dan di Malaysia telah membawa kepada usaha sama seperti Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia dan taman serupa di Kuantan, Melaka Gateway, Landasan Kereta Api Pantai Timur, kerjasama Geely-Proton, Zon Perdagangan Bebas Digital dan projek-projek penting lain.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia untuk lapan tahun berturut-turut dengan jumlah dagangan dua hala mencecah AS$100 bilion.

Lebih menonjol berbanding duta lain

Ia juga menjadi sumber pelaburan asing terbesar dalam pembuatan, kontraktor utama pembinaan dan satu daripada sumber terbesar pelancong asing ke Malaysia.

Dr Huang turut menyentuh ketibaan dua ekor panda gergasi yang merupakan haiwan ikonik China, yang kini menjadi tarikan utama pelawat ke Zoo Negara, dan usaha sama oleh kedua-dua negara dalam mendepani tragedi menimpa penerbangan Malaysia Airlines MH370 yang bangkai pesawat itu masih belum ditemukan selepas tiga setengah tahun dilaporkan hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Kebanyakan daripada 239 orang dalam pesawat itu ialah warganegara China.

“Saya bertuah kerana berpeluang menyaksikan hubungan China-Malaysia kian kukuh dalam empat tahun lepas. Saya telah melawat semua 13 negeri di Malaysia dan bertemu dengan ramai kawan daripada pelbagai lapisan masyarakat, merasai keazaman tinggi rakyat untuk memperkukuhkan lagi kerjasama antara China dan Malaysia,” katanya.

Dr Huang turut menerima banyak anugerah atas kecemerlangannya yang lebih menonjol daripada kalangan diplomat asing di sini, termasuk duta China terbaik ke Malaysia, rakan baik Malaysia, rakan baik komuniti Cina dan rakan baik pendidikan Cina.

Pada majlis makan malam perpisahan itu, satu lagi anugerah diberikan kepada beliau iaitu Diplomat Brand Laureate yang disampaikan Presidennya Dr KK Johan.

“Sebagai veteran dalam diplomasi, saya telah meninggalkan jejak saya hampir di semua tempat di dunia, tetapi selain tanah air saya China, Malaysia yang paling dicintai,” katanya dengan sebak ekoran diselubungi emosi susulan berat hati untuk meninggalkan bumi Malaysia.

Ungkapan perpisahan beliau: “Pengalaman saya di Malaysia akan kekal terpahat di ingatan saya. Di masa saja saya berada, saya akan menjadi rakan anda selamanya dan saya akan terus melakukan apa yang terdaya untuk mengukuhkan lagi hubungan China-Malaysia”.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS