Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Dr M mohon maaf atau tidak, tak beri kesan pada PRU'

Sekumpulan NGO baru-baru ini menggesa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta maaf berhubung Operasi Lalang yang dilancarkan 30 tahun lalu.

Bagaimanapun, penganalisis percaya sama ada Mahathir memohon maaf atau sebaliknya ia tidak memberi kesan kepada sokongan pengundi.

Penganalisis politik Khoo Kay Peng percaya Mahathir tidak akan memohon maaf atas kejadian yang berlaku kerana dia berulang kali mengatakan ia adalah keputusan polis untuk menjalankan operasi berkenaan.

Walaupun bagus untuk Mahathir meminta maaf, Khoo berkata "kunci" untuk memenangi pilihan raya umum bukanlah rekod hak asasi manusia yang pernah dipegang Mahathir.

"(Mahathir meminta maaf atau tidak) tidak akan memberi impak.

"(Pilihan raya) bukan mengenai Mahathir. Ini mengenai Pakatan Harapan (HARAPAN) dan keupayaannya untuk meyakinkan pengundi Melayu dan pengundi Malaysia Timur bahawa mereka boleh mendapatkan lebih baik daripada HARAPAN,"kata Khoo kepada Malaysiakini.

Pada tahun 1987, seramai 106 orang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di bawah Operasi Lalang.

Mahathir, yang ketika itu menjadi perdana menteri dan menteri dalam negeri, berulang kali menyatakan bahawa Ops Lalang dijalankan oleh pihak polis dan beliau tidak mempunyai kuasa untuk menghalang.

Selaku pengerusi HARAPAN, Mahathir kini bersekutu dengan beberapa individu yang pernah ditahan semasa operasi itu termasuk veteran DAP Lim Kit Siang dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Sementara itu, ketua eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan berkata bekas tahanan berhak menyatakan rasa marah kerana ditahan tanpa bicara.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa operasi itu bukan sekadar tindakan seorang individu.

Wan Saiful berkata anggota kabinet turut bertanggungjawab terhadap tindakan kerajaan secara keseluruhannya.

"Sekiranya mereka (kabinet) tidak meletak jawatan, maka mereka bertanggungjawab sama dan secara kolektif kerana mereka menyokong tindakan Mahathir. Tiada siapa yang boleh meloloskan diri untuk sejarah gelap ini.

"Mereka yang menuntut Mahathir untuk meminta maaf akan dilihat lebih seimbang jika mereka menuntut  perkara sama dari (ketua umum PKR) Anwar Ibrahim dan anggota kabinet lain pada masa itu untuk meminta maaf, atas sokongan mereka kepada tindakan Mahathir pada masa itu." katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS