Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini mengakui beliau dan juga wakil DAP tidak hadir ke majlis dialog berkenaan banjir dan kejadian tanah runtuh baru-baru ini di nengeri itu kerana sibuk dengan jadual kerja mereka.
"Kami ada beberapa kegiatan, ada majlis kerajaan negeri yang perlu saya hadir. Ahad hari yang paling sibuk," kata beliau dalam sidang akhbar di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini.
Ditanya kenapa kerajaan negeri Pulau Pinang tidak menghantar wakilnya ke majlis dialog itu, Lim sekali lagi berkata mereka semua sangat sibuk kecuali seorang ahli dewan undangan negeri.
"Jika kamu menulis kepada (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Abdul Razak), tetapi beliau tidak dapat hadir, adakah anda mahu katakan itu kesalahan beliau? Kamu perlu melihat jadual beliau," kata Lim.

Lim bagaimanapun berkata beliau sedia untuk bertemu dengan pihak penganjur Penang Forum jika ia menghantar beliau surat undangan.
"Kamu anjurkan pada masa kami tidak dapat pergi. Kenapa tidak kamu susunkan waktu yang selesa untuk kedua-dua pihak hadir?
"Kamu tidak boleh kata kami telah tentukan masa dan anda perlu hadir, ini tidak rasional," katanya.
Setiausaha agung DAP itu menambah pihak Penang Forum masih boleh menulis kepada beliau untuk mengatur pertemuan.
Wakil-wakil rakyat ADUN DAP dibidas kemarin kerana 'terlalu sibuk' untuk hadir majlis dialog anjuran Penang Forum berjudul ‘Floods: a call to action, and hillslope development’.
