Terjemahan Ramai penduduk Sabah dan Sarawak, termasuk para pegawai tinggi, mahu supaya hari kebangsaan dirayakan pada tanggal 16 September setiap tahun.

Mereka juga mahu sejarah diperbetulkan di mana Persekutuan Malaysia berusia 42 tahun dan bukannya 48 tahun.

Dalam komen dan surat-surat yang disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan, pemimpin negeri dan para pembaca berkata Persekutuan Malaysia terdiri daripada Persekutuan Negeri-negeri Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura ditubuhkan pada 16 September 1963.

Singapura kemudiannya keluar daripada persekutuan tersebut.

"Perdana Menteri mahu kita bercakap benar dan itulah kebenarannya kami bangga sebagai sebuah negara mulai tahun 1963. Ini adalah masanya untuk membuat pembetulan sepatutnya kerana untuk mewujudkan keyakinan rakyat, kita mesti memberitahu yang sebenarnya, berasaskan kepada fakta sejarah," kata penulis surat pembaca yang menggunakan Anak Kenyalang.

Mengikut amalan sekarang, tempoh kemerdekaan negara dikira mula Malaya dibebaskan daripada penjajahan British pada 31 Ogos 1957.

'Elak kekeliruan'

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Pairin Kitingan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dompok merupakan menteri pertama dari Sabah dan Sarawak yang menggesa secara terbuka supaya pembetulan tarikh hari kebangsaan itu dibuat bagi mengelak kekeliruan.

Turut menyokongnya hari ini ialah Menteri Pembangunan Sosial dan Perbandaran, Datuk William Mawan, yang dilaporkan berkata, penubuhan Malaysia tidakseharusnya dipertikaikan atau dikeluarkan dengan tarikh hari kemerdekaan bagi persekutuan negeri-negeri Melayu.

Ahli Parlimen Santubong, Wan Junaidi Tuanku Jaafar dipetik oleh akhbar Borneo Post sebagai berkata, fakta dan tarikh yang betul itu mestilah disiarkan.

Katanya, Malaysia bukan berusia 48 tahun, kerana ia hanya ditubuhkan pada tahun 1962 satu konsep untuk Sarawak mendapatkan kemerdekaannya.

Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng memberitahu malaysiakini hari ini, demi untuk membetulkan fakta sejarah, maka hendaklah diterima hakikat bahawa Malaysia ditubhkan pada 16 September 1963.

"Pada tahun 1957, Sarawak dan Sabah masih menjadi tanah jajahan Britih, jadi macam mana mereka boleh mendapat kemerdekaan (ketika itu)?" soalnya.

Menurutnya, cara terbaik untuk menandakan kelahiran sebenar Malaysia ialah dengan mengisytiharkan tanggal 16 September sebagai hari cuti am.


Tony Thien adalah wartawan sambilan malaysiakini di Sarawak