Polis hari ini memanggil tujuh pemimpin PAS, termasuk Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk memberi keterangan berhubung ceramah tanpa permit yang diadakan parti itu di Kampung Batu Enam, Manir dekat sini pada malam 26 Ogos lalu.

Kecuali Abdul Hadi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Datuk Wan Abdul Mutalib Embong, lima yang lain hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 9.50 pagi tadi.

Mereka ialah Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib; Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri, Abdul Wahid Endut; Pegawai Penerangan PAS Negeri, Ismail Dagang; Setiausaha PAS kawasan Kuala Nerus, Zakaria Dagang dan Pegawai Penerangan PAS Kuala Nerus, Dr Alias Razak.

Menurut laporan Bernama, kelima-lima pemimpin parti pembangkang itu kemudiannya meninggalkan IPD Kuala Terengganu secara berperingkat-peringkat mulai jam11.06 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Ayob Abdul Kadir, ketika ditemui, memberitahu bahawa semua pemimpin PAS itu diminta memberikan keterangan berhubung ceramah tanpa permit itu mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967.

Hadi hadir esok

"Difahamkan, (Datuk Seri) Abdul Hadi dan (Datuk) Wan Abdul Mutalib (yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri) akan hadir (ke balai) esok untuk memberi keterangan," katanya.

Dalam kejadian pada malam 26 Ogos lalu, Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan dua perhimpunan di padang bola Batu Enam dan Masjid Al-Taqwa Batu Enam, yang dihadiri kira-kira 2,000 penyokong PAS, kerana tidak mendapat permit daripada polis.

Ekoran kejadian itu, orang ramai yang dipercayai penyokong PAS, bertindak balas dengan menyerang pasukan polis dengan membaling batu, objek tajam, dan juga cili boh, menyebabkan polis menahan tujuh lelaki yang disyaki terbabit, tetapi dibebaskan kemudiannya dengan jaminan polis.

Sementara itu, Abdul Wahid ketika ditemui berkata, pihaknya berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negeri Datuk Hussin Ismail, berhubung masalah mendapatkan permit untuk mengadakan ceramah.

"Kita tidak ada masalah dengan polis. Kita datang untuk berunding, berbincang dan memberi kerjasama terhadap kes yang sedang disiasat. Kalau boleh, kita harap dapat berjumpa dengan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu sekali lagi dalam masa terdekat bagi menyelesaikan kes ini secepat mungkin," katanya.