Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saman balu PI Bala: Hanya Deepak belum failkan pembelaan

Pengedar permaidani Deepak Jaikishian belum memfailkan pembelaannya berhubung saman yang dikemukakan oleh A Santamil Selvi dan tiga anaknya mengenai akuan bersumpah terakhir yang dibuat oleh suaminya, P Balasubramaniam, berkenaan dengan pembunuhan Altantuya Shaaribuu.

Peguam Deepak, Sarah Abishegam memberitahu pemberita di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa firma Shafee dan Co akan menyerahkan kenyataan pembelaan itu pada Isnin depan.

Semua lapan defendan dalam saman itu, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, telah memfailkan pembelaan mereka.

Semakan oleh Malaysiakini juga mendapati adik-adik Najib, Ahmad Johari dan Nazim, bersama dengan peguam Cecil Abraham, Sunil Abraham dan M Arulampalam dan Pesuruhjaya Sumpah Zainal Abidin Muhayat, yang semuanya dinamakan sebagai defendan, telah memfailkan pembelaan mereka.

Pembelaan itu difailkan berikutan keputusan Hakim Datuk Hue Siew Kheng bulan lalu yang tidak membenarkan penangguhan oleh defendan daripada memfailkan pembelaan sementara menunggu permohonan untuk membatalkan saman berkenaan.

Susulan itu, peguam Amerik Singh Sidhu yang mewakili Santamil Selvi memberitahu wartawan bahawa Hakim Hue telah menetapkan 7 Disember untuk mendengar permohonan membatalkan saman oleh defendan.

Santamil mendakwa anggota keluarganya secara salah dibuang ke luar negara pada 2008 selepas pendedahan Balasubramaniam berkaitan dua akuan bersumpah Altantuya Shaaribuu.

Keluarga Balasubramaniam mendakwa mereka rugi dan hilang pendapatan susulan hidup dalam buangan antara 2008 hingga awal 2013.

Deepak pada tahun 2012 memberitahu Malaysiakini bahawa Najib dan ahli keluarganya mempunyai peranan dalam tindakan penyiasat persendirian (PI) Balasubramaniam menarik
balik akuan bersumpah asalnya yang membabitkan Najib dalam skandal dengan Altantuya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS