Pencuci kereta didakwa bunuh sepupu
Seorang pencuci kereta dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang juga sepupunya dalam kejadian pada malam 21 Oktober lalu.
Iskandar Zulkarnain Zolkifly, 26, dituduh membunuh Rabiatol Ain Mohamod, 27 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 8.30 sehingga 9 malam di Taman Temerloh Makmor.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Iskandar turut didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu kesalahan memasukkan dadah jenis morfin ke dalam badan, di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh pada awal pagi 22 Oktober.
Kesalahan mengikut seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.
Pegawai Pendakwa Inspektor Irmawathy Mohamad Yusof kemudian memohon kepada mahkamah supaya menetapkan satu tarikh baru sementara menunggu laporan kimia.
Majistret Najwa Hashim membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan 18 Disember ini untuk sebutan semula kes.
-Bernama

