Speaker: Logo BN terpapar secara tak sengaja
PARLIMEN l Logo BN yang terpapar semasa siaran langsung televisyen ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2018 di Parlimen adalah tindakan yang tidak disengajakan, kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Pandikar berkata beliau telah menerima penjelasan dan permohonan maaf yang dikemukakan kepadanya berhubung kesilapan itu.
Mesej Pandikar itu dibacakan oleh Timbalan Speaker Datuk Ismail Mohamed Said di Dewan Rakyat hari ini.
“Terdapat 804 slaid yang telah digunakan semasa bentangan RUU Bekalan 2018 namun hanya satu slaid yang mengandungi logo BN terpapar pada skrin tersebut dan tiada mana-mana slaid yang lain.
“Penyediaan slaid ini adalah sebagai sokongan visual kepada ucapan perdana menteri.
“Dalam hal ini pemaparan logo BN adalah tindakan yang tidak disengajakan dan terlepas pandang oleh pihak penyedia slaid.
“Saya terima penjelasan yang dikemukakan dan pihak berkenaan juga memohon maaf kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat atas kesilapan tersebut,” kata Pandikar.
Pandikar kemudian menggesa semua anggota parlimen untuk menjadikan insiden itu sebagai iktibar dan tidak mengulangi kesilapan sedemikian pada masa akan datang.
"Kita hendaklah sentiasa patuhi dan hormati decorum dewan sepanjang masa,” katanya.

