Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saifuddin Nasution bakal YDP baru MAIPP?
Diterbitkan:  Nov 1, 2017 8:00 PM
Dikemaskini: Nov 2, 2017 3:17 AM

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution bakal dilantik sebagai yang dipertua baru Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP).

Beliau akan menggantikan anggota Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir Datuk Salleh Man daripada PAS yang memimpin majlis itu sejak 2012, menurut sumber kerajaan negeri.

Menurut sumber lagi, lantikan itu kini bagaimanapun masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Saifuddin kini berkhidmat sebagai penasihat stategik Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Katika Salleh mengangkat sumpah jawatan itu, PAS masih bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Salleh juga dilihat sebagai wakil tunggal PAS dalam kerajaan negeri yang masih bertahan sehingga ke hari ini walaupun kedua-dua parti itu telah pun menjadi seteru.

Salleh ketika dihubungi berkata beliau setakat ini tidak menerima apa-apa maklumat berhubung perkara itu.

Namun, katanya lagi, tempoh jawatannya di MAIPP akan tamat hujung tahun ini dan mengakui sudah memegang jawatan itu untuk satu tempoh yang lama.

"Sama ada kontrak saya disambung atau tidak, terpulang kepada kerajaan negeri," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Saifuddin ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu.

"Ia perlu datang daripada kerajaan negeri atau exco agama sendiri," katanya ketika dihubungi.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan respon Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim.

Lihat Komen
ADS