Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Lapan orang terbunuh manakala berpuluh-puluh lagi cedera selepas sebuah trak pikap merempuh sekumpulan pejalan kaki dan penunggang basikal berhampiran Pusat Dagangan Dunia di Bandaraya New York, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan datuk bandar pada Selasa.

Berdasarkan maklumat yang dimiliki pihak berkuasa ketika ini, insiden itu merupakan "satu tindakan ganas oleh pengecut yang menyasarkan orang awam yang tidak bersalah," kata Datuk Bandar Bill de Blasio dalam satu sidang akhbar.

Bercakap pada sidang akhbar itu bersama-sama datuk bandar, Pesuruhjaya Polis James O' Neil berkata suspek adalah seorang lelaki berusia 29 tahun yang bukan berasal dari New York.

Beliau berkata pihak berkuasa tidak akan mendedahkan identiti suspek dalam masa terdekat. Menurut O'Neil, suspek memandu sebuah trak pikap Home Depot yang disewa dan telah memasuki laluan sikal Lebuhraya Sebelah Barat di Jalan Houston pada 3.05 petang.

Beliau berkata lelaki itu memandu trak berkenaan ke arah selatan sebelum merempuh beberapa pejalan kaki dan penunggang basikal di laluan tersebut. Di Jalan Chambers, trak itu telah bertembung dengan sebuah bas sekolah, menyebabkan dua orang dewasa dan dua kanak-kanak cedera.

Selepas pelanggaran itu, suspek keluar dari kenderaan dengan memegang senjata paintball dan senapang angin. Dia telah ditembak oleh seorang anggota polis beruniform sebelum dikejarkan ke hospital.

Laporan menyebut suspek telah melaungkan "Allahu Akbar," yang bermaksud "Allah Maha Besar" dalam bahasa Arab.

O'Neil kemudian diminta mengesahkan sama ada suspek telah mengeluarkan kalimah tersebut pada sidang akhbar itu. Beliau berkata suspek "memang ada mengeluarkan satu kenyataan ketika dia keluar dari kenderaan itu" namun enggan mengulas lanjut.

Rakaman video oleh seorang kerani pejabat yang bekerja di bangunan 7 Pusat Dagangan Dunia setinggi 52 tingkat itu menunjukkan semua jalan utama sekitar daerah kewangan yang sentiasa sesak telah dikosongkan, dan hanya kenderaan polis dapat dilihat bergerak atau diparkir di kawasan tersebut.

Kerani wanita itu, yang hanya ingin dikenali sebagai Jiang, memaklumkan Xinhua bahawa beliau dan rakan sekerjanya dinasihati polis untuk terus berada di dalam bangunan tersebut sehingga diberitahu kelak.

Seorang saksi, John Williams, berkata "Semasa saya berjalan di laluan menuju ke tempat kejadian, saya telah melihat sekumpulan wanita dan kanak-kanak berlari ke arah saya, seorang daripada mereka berkata 'dia ada senapang, dia ada senapang.' Saya berpaling dan terdengar bunyi tembakan kira-kira 30 saat kemudian."

"Terdapat sebuah trak pikap putih dengan logo Home Depot. Bahagian depan trak itu pecah berkecai dan terdapat juga asap," katanya.

Serangan itu berlaku beberapa jam sebelum perarakan tahunan Halloween di pusat bandar Manhattan, yang biasanya dibanjiri ribuan pengunjung berpakaian kostum.

Pihak berkuasa berkata lebih ramai anggota dan sumber polis akan ditempatkan di kawasan ikonik dalam bandar itu.

Pada sidang akhbar berkenaan juga, Gabenor New York Andrew Cuomo, yang sebelum itu mengucapkan selamat hari Halloween kepada penduduk New Yorker, berkata tidak ada bukti yang menunjukkan terdapat ancaman berterusan selepas serangan trak tersebut.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam twitnya menyebut, "Di NYC, nampaknya berlaku satu lagi serangan oleh seorang individu yang mentalnya amat sakit dan tidak waras. Agensi penguatkuasaan undang-undang sedang memantau perkara ini dengan teliti. BUKAN DI AS!"

- Bernama

Lihat Komen
ADS