Dakwaan gangguan seksual, menteri UK letak jawatan
GLOBAL l Menteri Pertahanan British Michael Fallon meletak jawatan, yang pertama berbuat demikian, ekoran dakwaan gangguan seksual di Parlimen.
Lebih ramai wanita dan lelaki yang bekerja di parlimen Britain telah mengadu tentang tingkah laku tidak senonoh ahli Parlimen, sebahagian besarnya didorong oleh dakwaan gangguan seks terhadap pengeluar filem Hollywood, Harvey Weinstein.
Fallon meminta maaf awal minggu ini kerana menyentuh lutut seorang penyiar radio pada tahun 2002 - sesuatu yang digambarkan oleh wanita itu di media sosial sebagai "agak lucu."
Dalam surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Theresa May pada hari Rabu, Fallon berkata terdapat banyak dakwaan terhadap penggubal undang-undang sejak kebelakangan ini, termasuk "beberapa tingkah laku saya sebelum ini."
"Banyak daripadanya adalah palsu," katanya tetapi menambah bahawa dia mahu bertanggungjawab terhadap pelakuan masa lalunya itu.
"Saya telah menimbang kedudukan saya dan oleh itu saya meletak jawatan sebagai setiausaha pertahanan."
May telah bertindak pantas selepas laporan hujung minggu bahawa salah seorang menterinya meminta seorang setiausaha wanita untuk membeli alat mainan seks - yang mencetuskan persoalan bagaimana kakitangan muda dilayan.
Damian Green, timbalan May dalam kerajaan British, menafikan dakwaan bahawa dia melakukan gangguan seksual terhadapa seorang wanita muda.
May, yang telah lama memperjuangkan kerjaya penggubal undang-undang wanita, berkata pada awal hari Rabu bahawa tindakan akan diambil apabila terdapat tuduhan dan bukti kesalahan seksual.
"Kita akan mengambil tindakan jika ada tuduhan dan ada bukti berlaku salah laku itu," katanya kepada ahli parlimen.
- Reuters

