Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS yakin hayat parti serpihannya, Parti Amanah Negara (AMANAH) akan berakhir selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata demikian kerana merasakan AMANAH tidak akan mendapat banyak sokongan, termasuk di Kelantan.

Selain aspek sokongan, beliau turut mempersoalkan kawasan yang bakal ditandingi parti itu dengan mendakwa parti lain dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak akan memberikan kerusi mereka dengan mudah.

"Ambo (saya) bukan nak bercakap sombong, tapi AMANAH ini umur dia sampai PRU nanti sahaja.

"Dia nak bertanding kerusi siapa? PRU nanti, PKR tak mahu bagi kerusi, DAP pun tak akan bagi kerusi. Kemudian datang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga nak kerusi.

"Dan tidak mustahil berlaku perebutan kerusi sesama sendiri nanti...Akhirnya mereka akan bergaduh sesama sendiri. Tunggu dan lihat kalau tak percaya,"katanya yang merujuk AMANAH sebagai PAN pada program ceramah di Kampung Hujung Tanjung, Kota Bharu, malam tadi.

Di sebalik dakwaan Mohd Amar itu, HARAPAN sebelum ini berkata rundingan kerusi antara parti komponennya sudah hampir selesai.

Pada September lalu, Setiausaha Agung HARAPAN Datuk Saifuddin Abdullah, rundingan sudah mencapai peringkat kedua iaitu berkaitan pengagihan kerusi di peringkat negeri.

Di Kelantan pula, Timbalan Pengerusi HARAPAN Kelantan Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata rundingan untuk kerusi Parlimen sedang berjalan, dengan pertindihan antara AMANAH, PKR dan BERSATU di empat dari 14 kawasan.

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata, AMANAH yang menyasarkan bertanding di 35 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu perlu sedar mereka kekurangan calon dan tidak mampu menubuhkan cawangan di kawasan tertentu.

"Jadi mereka perlu sedar dan lupakan niat untuk gantikan PAS mentadbir Kelantan. AMANAH hanya perkakas DAP, bagaimana nak ganti PAS?" katanya sambil menyifatkan parti itu kini terdesak menyerang PAS melalui isu Wisma Tok Guru dan Pasar Besar Pasir Puteh.

"Sebab itu sekarang mereka kelam kabut. Dengan izin Allah, habis PRU nanti kita boleh lihat," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS