Aktiviti pengambilan pekerja secara dalam talian di Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak tujuh peratus pada September 2017 berbanding bulan sama tahun lepas, dengan sektor minyak dan gas merupakan sektor yang mencatat prestasi terbaik, menurut Indeks Pekerjaan Monster yang terkini.

Indeks tersebut, mengukur aktiviti tawaran pekerjaan secara dalam talian dan dikumpulkan secara bulanan oleh Monster.com.

Dalam kenyataan hari ini, Monster.com berkata, sektor minyak dan gas mencatatkan pertumbuhan sebanyak 37 peratus dari segi tahun ke tahun dalam pengambilan pekerja secara dalam talian, diikuti teknologi maklumat, penyedia perkhidmatan telekomunikasi/Internet dan penyumberan luar proses perniagaan/perkhidmatan berkeupayaan Internet, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 34 peratus.

Pengarah Urusan Timur Tengah dan Monster.com APAC, Sanjay Modi, berkata peralihan yang kukuh daripada asas pembuatan yang teguh kepada teknologi digital dan kemahiran lanjutan meningkatkan pasaran pekerjaan Malaysia dengan peluang baharu.

“Ini merupakan berita baik. Bagaimanapun, untuk kekal relevan dan diambil bekerja, tenaga kerja di semua peringkat perlu terus meningkatkan kemahiran untuk memenuhi keperluan tenaga kerja yang dinamik,” katanya.

- Bernama