Paling Popular
Terkini

Datuk Seri Najib Razak hari ini menafikan laporan Sarawak Report yang menuduhnya memberikan dana RM90 juta kepada PAS.

Kata perdana menteri, sebab itulah PAS mengemukakan saman terhadap portal itu yang selama ini banyak membuat dakwaan berkaitan kerajaan BN.

Tindakan PAS itu kata Najib menyebabkan pengarang portal berkenaan Clare Rewcastle-Brown gelabah.

"Saya tak bagi duit kepada PAS, sebab itu PAS saman Sarawak Report.

"Kita tunggu keputusan (mahkamah di UK), dan sekarang Clare dah gelabah," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Najib bercakap demikian ketika menyampaikan ucapan penutup onvensyen Media Sosial Umno di bangunan ibu pejabat parti itu.

Turut hadir mengisi program itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sarawak Report sebelum ini mendakwa PAS menerima wang RM90 juta daripada Najib yang dipercayai berpunca daripada dana 1MDB.

PAS menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan sudah memulakan proses menyaman Clare serta Sarawak Report melalui mahkamah di UK.

Mengulas lanjut Najib bagaimanapun berkata beliau tidak boleh memberi kenyataan lebih lanjut kerana isu berkenaan sudah dibawa ke mahkamah.

Kata perdana menteri dakwaan-dakwaan sebegitu adalah sesuatu yang mengarut dan bertujuan untuk memburuk-burukkan Umno.

"Terlalu banya berita-berita palsu dalam media sosial dan kita mesti membetulkannya," kata Najib.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS