Kedai kereta dibom kerana tak bayar wang perlindungan
Sebuah kedai menjual kereta terpakai dibom semalam, dipercayai berpunca daripada keenggangan pemiliknya membayar wang yang diminta oleh sekumpulan pemeras ugut, kata Ketua Polis Perak Datuk Zainal Mohd Tahir.
Sebuah kedai menjual kereta terpakai dibom semalam, dipercayai berpunca daripada keenggangan pemiliknya membayar wang yang diminta oleh sekumpulan pemeras ugut, kata Ketua Polis Perak Datuk Zainal Mohd Tahir.
Katanya pemilik Syarikat Mun Loong Auto Mobil Sdn Bhd di Jalan Lumut-Sitiawan itu telah menerima panggilan telefon daripada pemeras ugut meminta wang sebanyak RM700,000 seminggu sebelum kejadian.
"Kita dapati bom yang dilemparkan itu adalah buatan sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Polis Bercham di Ipoh hari ini.
Beliau berkata polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan dan setakat ini belum ada tangkapan dibuat.
Dalam kejadian pada jam 3.50 pagi semalam, lima daripada 40 buah kereta terpakai dan baru mengalami kerosakan.
Menurut laporan Bernama, Zainal berkata, tidak ada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu kerana ia berlaku pada awal pagi.
Dalam kes lain, polis menahan empat lelaki berusia 30-an sejak seminggu lalu kerana disyaki merompak beberapa pemilik bangunan selepas mereka berpura-pura hendak menyewa kedai yang telah diiklankan.
"Perompak berkenaan akan menelefon pemilik bangunan untuk bertemu di bangunan terbabit dan kemudian merompak wang tunai dan telefon bimbit," kata Zainal.
Sebanyak 40 kes seumpama itu dilaporkan di Perak sejak tahun 2003.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.