Tiada peningkatan luar biasa kemasukan rakyat Thai ke Ktan
Jabatan Imigresen Kelantan tidak merekodkan peningkatan luar biasa kemasukan rakyat Thailand ke negara ini melalui sempadan Kelantan/Thailand.
Jabatan Imigresen Kelantan tidak merekodkan peningkatan luar biasa kemasukan rakyat Thailand ke negara ini melalui sempadan Kelantan/Thailand.
Pengarahnya Md Solehan Omar berkata, jabatan itu memperketatkan pemeriksaan dan pemantauan sejak beberapa hari lalu berikutan kemasukan 131 warga Thailand yang memohon perlindungan di negara ini.
"Bagaimanapun, kesesakan berlaku di hampir semua pintu masuk di Rantau Panjang-Sungai Golok (Thailand), sempadan Bukit Bunga, Jeli-Bukit Tar, dan Pengkalan Kubor, Tumpat-Tak Bai berikutan pemeriksaan ketat yang dilakukan jabatan dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Imigresen," katanya kepada Bernama hari ini.
Menurutnya pemeriksaan ketat dilakukan bagi memastikan keselamatan di ketiga-tiga kawasan yang lebih dikenali dengan aktiviti perdagangan dan tarikan pelancongan itu, tidak terjejas.
Md Solehan berkata, jabatannya mengesan sedikit peningkatan kedatangan pelawat Thailand ke negara ini, yang kebanyakannya dipercayai terdiri daripada peniaga, tetapi jumlahnya masih lagi pada tahap biasa.
Sebaliknya, kata beliau, jabatannya mencatat penurunan bilangan rakyat negara ini yang mengunjungi negara jiran itu, terutamanya sejak kes pengeboman terbaru pada 31 Ogos lalu yang turut mencederakan seorang rakyat Malaysia.
Kawalan keselamatan di kawasan sempadan juga dipertingkatkan sejak 31 Ogos lalu apabila 131 warga Thailand bertindak memasuki negara ini untuk mencari perlindungan kerana bimbangkan keselamatan diri mereka.
Mereka yang terdiri daripada 64 lelaki, 24 wanita dan 43 kanak-kanak, kini ditempatkan sementara di depo tahanan Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.