Paling Popular
Terkini

Tun Dr Mahathir Mohamad memang seorang manusia sempurna - tapi tanggapan itu hanya ada pada dirinya sendiri, kata Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Najib walau apa pun yang berlaku Dr Mahathir tetap enggan mengakui kesilapannya termasuk berkaitan penahanan beramai-ramai pembangkang dan pengkritik kerajaan melalui Operasi Lalang pada 1987.

“Lebih 100 orang ditahan dan dia kata, eh, bukan salah saya (tapi) salah polis. Saya kena dengar cakap polis. (Tapi) bila pulak Mahathir dengar cakap orang?

"Dia ada dengar cakap timbalanya tak? Semua ada masalah, sebab Mahathir sempurna, dia tak perlu dengar cakap orang lain," katanya semasa menyampaikan ucapan perasmiam Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-62 di Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Mahathir kekal menjadi salah seorang pengkritik paling tegar kerajaan ketika ini.

Operasi Lalang berlangsung di bawah kerajaan Dr Mahathir 30 tahun lalu dan ramai menjadi tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Walaupun ISA diwujudkan untuk memelihara keamanan pembangkang menganggap akta itu digunakan oleh kerajaan untuk menekan semua pengkritik mereka.

Dr Mahathir pada 1 Nov lalu berkata beliau mengambil tanggungjawab atas penahanan itu walaupun keputusan sebenar dibuat oleh Polis Diraja Malaysia.

Malah Dr Mahathir berkata beliau sendiri tidak bersetuju dengan amalan menahan seseorang tanpa dibicara.

Katanya beliau cuba menghapuskan ISA namun tidak dipersetujui PDRM.

Dia boleh pusing balik

Justeru kata Dr Mahathir antara perkara awal dilakukannya selepas menjadi perdana menteri ialah mengarahkan semua 21 tahanan politik dibebaskan.

ISA kini sudah dimansuhkan dan diganti dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali sebagai Sosma.

Berucap di depan delegasi MCA, Najib meminta mereka memberitahunya ada berapa banyak individu yang ditahan di bawah ISA sejak beliau menjadi perdana menteri.

"Berapa? Kosong! Sebab sayalah yang memansuhkan ISA,” katanya.

Justeru kata Najib rakyat tidak seharusnya membazirkan masa dengan pembangkang yang kini diketuai Dr Mahathir sebagai pengerusi Pakatan Harapan.

Najib yang juga pengerusi BN berkata tidak ada sebab mengapa Dr Mahathir boleh dipercayai ketika bekas perdana menteri itu berbaik-baik dengan bekas seteru politiknya.

“Kalau dia peluk Lim Kit Siang, suatu hari nanti dia boleh lepaskan Kit Siang. Percayalah saya, dia boleh U-turn (pusingan U).

“Anda tidak boleh mentadbir negara dengan dasar itu. Anda harus letakkan kepercayaan atas dasar percaya dan keikhlasan kepada pemimpin,” katanya.

Lihat Komen
ADS