Walaupun Golden Hope Plantation Bhd (Golden Hope) syarikat perladangan kedua terbesar di negara ini selepas Felda mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM549.9 juta, tetapi kenaikan gaji pekerjanya hanyalah RM25 setahun, kata Penyelaras Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), Rama Chantiran.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, gaji pekerja ladang terbabit dinaikan dari RM325 kepada RM350 sebulan.

Pada 19 Ogos lalu, katanya, Persatuan Pemilik Ladang (Mapa) dan Kesatuan Pekerja Ladang Kebangsaan (NUPW) menandatangani perjanjian bagi kenaikan gaji pekerja ladang kelapa sawit itu sebanyak lapan peratus (RM25).

Katanya, kenaikan sebanyak RM25 itu tidak membawa sebarang perubahan kepada para pekerja berbanding dengan kenaikan harga petrol, kadar tol dan barangan keperluan lain.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rama berkata, jumlah keuntungan Golden Hope itu adalah yang terbesar diraih oleh syarikat berkenaan dalam tempoh lima tahun lalu.

Menurutnya, hasil tinjauan pihaknya baru-baru ini mendapati, pekerja ladang tidak berpuas hari dengan kenaikan tersebut.

Gaji RM750 sebulan

Rama berkata, kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Fong Chan Onn bahawa pekerja ladang mudah memperolehi pendapatan RM1,500 sebulan, adalah tidak benar.

"Rata-rata pekerja ladang kelapa sawit hanya menerima gaji di antara RM250 dan RM350 sebulan," katanya.

Menurutnya, syarikat perladangan berkenaan sepatutnya menaikkan gaji pekerja kepada kadar yang lebih munasabah iaitu RM750 sebulan.

"Jika Mapa berpendapat kenaikan gaji yang adil untuk pekerja ladang, akan meningkatkan kos pengeluaran dan memberi kesan kepada syarikat perladangan, maka industri ini tidak perlu diwujudkan lagi," katanya.

Beliau berkata, adalah lebih rasional kerajaan memberi mereka rumah dan lot tanah agar mereka dapat menikmati hasil titik peluh mereka.