Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Malapetaka' jika Khazanah lantik Arul Kanda, kata Pua
Diterbitkan:  Nov 7, 2017 12:23 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

Adalah malapetaka besar bagi Khazanah Nasional Bhd jika syarikat itu melantik Arul Kanda Kandasamy bagi menggantikan Tan Sri Azman Mokhtar sebagai pengarah urusan, dakwa anggota parlimen Petaling Jaya Utara.

Mengulas mengenai artikel Straits Times yang menamakan empat calon mungkin menggantikan Azman, Pua berkata trek rekod Arul Kanda telah tercemar semasa menerajui 1MDB.

Di sebalik "pelan rasionalisasi", katanya 1MDB masih memiliki hutang berbilion-bilion ringgit dan Bandar Malaysia masih belum dijual.

"Hakikatnya Arul Kanda yang dipecat oleh Kementerian Kewangan dari Bandar Malaysia Sdn Bhd menjelaskan semuanya," kata Pua.

Pua juga menuduh Arul Kanda terlibat dalam "perakaunan kreatif" apabila mendakwa kerugian penjualan aset tenaga 1MDB kepada China, hampir mencapai 'pulangan balik' pelaburannya.

"Hanya seorang ketua pegawai eksekutif bodoh akan mengatakan bahawa syarikatnya mengeluarkan dividen tanpa mengira mengenai faedahnya," kata Pua.

Beliau menggesa rakyat Malaysia membantah sebarang usaha melantik individu yang "terbukti tidak cekap" untuk mengetuai Khazanah.

Azman mengetuai Khazanah sejak tahun 2004 dan kontraknya akan tamat pada pertengahan 2018.

Menurut Straits Times, Arul Kanda dinamakan selain Pengarah Eksekutif Khazanah, Datuk Hisham Hamdan dan Ahmad Zulkarnain Onn serta CEO CIMB, Tengku Zafrul Aziz.

Memetik sumber, laporan itu mendakwa ada cubaan melobi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk melantik Arul Kanda atau Tengku Zafrul sebagai bos Khazanah baru.

Lihat Komen
ADS