Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Beberapa siri video yang tular di internet yang mendakwa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Dzulkifli Ahmad terlibat hubungan sulit tidak boleh dipercayai, kata MP BN.

Ini kerana menurut Anggota Parlimen BN Langkawi Datuk Nawawi Ahmad video itu boleh dipalsukan.

"Saya berpendapat, gambar ini kita tak boleh dipercayai, di zaman teknologi ini, muka Tan Sri (Dzulkifli) boleh jadi gambar saya," beliau memberitahu Dewan Rakyat ketika perbahasan Bajet 2018.

"Zaman teknologi ini kita boleh buat macam-macam," tambah beliau.

Beliau berkata tidak betul untuk Anggota Parlimen DAP Puchong Gobind Singh Deo membangkitkan perkara ini Khamis minggu lalu di parlimen," kata beliau.

Nawawi (gambar, bawah) memetik dakwaan skandal penetapan hakim VK Lingam suatu ketika dulu.

"Pernah kita dengar suatu ketika dulu, correct, correct, correct. Dia kata, it look like me it sounds like me, but not me.

"Saya harap perkara ini kita dapat matikan di sini," kata beliau.

Minggu lalu, Gobind dan anggota parlimen pembangkang membangkitkan persoalan kemungkinan berlaku penyembunyian di antara polis dan SPRM yang sedang menjalankan kes siasatan berprofil tinggi di antara satu sama lain.

Pihak polis sedang menyiasat Dzulkifli di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan atas dakwaan hubungan sulit manakala SPRM menjalankan Ops Gobi, suatu siasatan terhadap pegawai polis yang didakwa menerima rasuah daripada sindiket perjudian.

Dzulkifli berkata video itu mensasarkan untuk memburukkan wibawa usaha SPRM dan menekankan suruhanjaya itu tidak akan berundur daripada tugas membanteras rasuah.

Lihat Komen
ADS