JPJ pulangkan wang cukai jalan terlebih bayar
Pemilik kenderaan yang telah membuat pembayaran lebih awal bagi cukai jalan yang tamat Isnin ini, layak mendapat semula wang lebihan bayaran, berikutan langkah kerajaan mengurangkan cukai jalan kenderaan.
Pemilik kenderaan yang telah membuat pembayaran lebih awal bagi cukai jalan yang tamat Isnin ini, layak mendapat semula wang lebihan bayaran, berikutan langkah kerajaan mengurangkan cukai jalan kenderaan.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Emran Kadir berkata, pemilik kenderaan terbabit perlu membuat permohonan kepada JPJ untuk mendapatkan wang lebihan tersebut.
"Ini tidak ada masalah, wang akan dikembalikan kepada mereka yang sepatutnya layak mendapat faedah kadar baru," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat agung Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia di Melaka hari ini.
Mesyuarat itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Muhd Safaruddin Muhd Sidek yang mewakili Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy.
Semalam, kerajaan mengumumkan pengurangan cukai jalan antara 25 dan 80 peratus berkuatkuasa Isnin ini, bagi meringankan beban rakyat berikutan kenaikan harga minyak.
Emran berkata. memang ada sesetengah pemilik kenderaan yang membayar lebih awal daripada tarikh tamatnya cukai jalan tersebut.
"Proses pembayaran tersebut adalah sama ketika kerajaan mengecualikan bayaran cukai jalan bagi motosikal di bawah 150 cc, pada Bajet 2004," katanya.
Kadar baru
Beliau juga berkata JPJ telah mengubah sistem pembayaran cukai jalan untuk membolehkan pembayaran pada kadar baru dilaksanakan Isnin ini.
"Semalam lagi saya telah mengarahkan pegawai-pegawai saya untuk membuat perkiraan dan membuat perubahan sistem dari kadar lama kepada kadar baru. Esok kita akan buat percubaan," katanya.
Menurut laporan Bernama, Emran yakin proses pembayaran mengikut kadar baru akan berjalan lancar di seluruh negara Isnin ini.
Ditanya jumlah hasil cukai kenderaan yang akan berkurangan berikutan langkah kerajaan itu, Emran berkata pihaknya belum membuat perkiraan tetapi menjangka kerajaan akan kekurangan hasil yang cukup besar.
Katanya, ketika kerajaan mengecualikan cukai jalan untuk motosikal bawah 150 cc, pengurangan hasil JPJ ialah RM240 juta.
"Cuba anda fikir, kita belum buat perkiraan, tetapi 60 peratus kenderaan yang berdaftar sekarang adalah 1,600 cc dan ke bawah, jumlah yang terlibat cukup besar, dijangka kerajaan akan mengalami kekurangan hasil yang cukup besar," katanya.
Beliau berkata. jumlah kenderaan yang berdaftar sehingga Jun tahun ini ialah 14.2 juta.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.