Tindakan Kjaan Thai menimbulkan kemarahan umat Islam: JIM
Kerajaan Thailand perlu mengambil langkah segera menamatkan pertelingkahan dengan penduduk Islam di wilayah selatan negara itu bagi mengelak hubungan dengan Malaysia terjejas.
Kerajaan Thailand perlu mengambil langkah segera menamatkan pertelingkahan dengan penduduk Islam di wilayah selatan negara itu bagi mengelak hubungan dengan Malaysia terjejas.
Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin berkata, jika umat Islam terus ditindas dan dibunuh ia akan menimbulkan kemarahan umat Islam di Malaysia dan beberapa negara lain di Asia Tenggara.
Katanya, pembunuhan seumpama itu bukanlah kali pertama berlaku malah ia adalah lanjutan daripada peristiwa Tak Bai yang mengorbankan berpuluh nyawa umat Islam sebelum ini.
"Apa yang berlaku di Selatan Thailand itu turut menimbulkan kegelisahan di kalangan umat Islam di negara ini dan jika tidak dibendung ia membawa kesan buruk kepada hubungan kedua-dua negara," katanya dalam sidang media di pejabatnya di ibu negara hari ini.
Turut hadir ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Yusri Mohamad dan wakil dari beberapa pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO) yang lain.
Menurut Zaid, apa yang berlaku di Selatan Thailand itu agak memeranjatkan kerana penduduk Islam di wilayah tersebut hidup dalam suasana aman damai.
"Tuduhan bahawa mereka adalah militan yang memberi ancaman kepada keselamatan negara itu tidak tepat kerana mereka sudah tidak aktif dengan aktiviti menentang kerajaan," katanya.
Beliau berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan Kerajaan Malaysia memberi perlindungan kepada umat Islam yang melarikan diri ke Malaysia dan hanya akan menghantar balik selepas pemeriksaan selesai dan dengan jaminan keselamatan dari Thailand.
Menjadikannya isu antarabangsa
Zaid berkata, jika masalah tersebut berterusan pihaknya akan menjadikan isu Selatan Thailand sebagai isu antarabangsa seperti apa yang berlaku terhadap isu rakyat Palestin.
Katanya, pihaknya juga sudah membuat satu perjanjian dengan Mercy Malaysia untuk bekerjasama memberi bantuan kesihatan , makanan, pendidikan dan saikologi kepada umat Islam Thailand tersebut.
Sementara itu, Yusri berkata, situasi di Selatan Thailand semakin tegang dan kerajaan negara itu perlu bertindak segera menghalang supaya ia tidak merebak.
Katanya, cara yang paling berkesan ialah dengan mengambil langkah memenangi hati dan pemikiran penduduk Islam termasuk kesejahteraan mereka dipertingkatkan.
"Kita juga meminta pihak berkuasa Thailand memelihara institusi keagamaan umat Islam supaya api kemarahan mereka tidak menjadi semakin meluap," katanya.
Yusri berkata, Abim akan terus memantau perkembangan yang berlaku di Selatan Thailand itu dan sentiasa berhubung dengan pemimpin Islam di wilayah tersebut untuk mendapatkan maklumat terbaru.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.