Kabinet arah tangguh roboh masjid kedua tertua di KL
Masjid Jameul Ehsan berusia 174 tahun di Setapak masjid kedua tertua di Kuala Lumpur tidak akan dirobohkan sehingga satu kajian dijalankan ekoran arahan kabinet yang mahu supaya nilai warisannya diselidiki, kata Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Rais Yatim.
Masjid Jameul Ehsan berusia 174 tahun di Setapak masjid kedua tertua di Kuala Lumpur tidak akan dirobohkan sehingga satu kajian dijalankan ekoran arahan kabinet yang mahu supaya nilai warisannya diselidiki, kata Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Rais Yatim.
Katanya, beliau telah memaklumkan kepada kabinet semalam mengenai latarbelakang dan nilai warisan masjid tersebut, ekoran laporan media elektronik tiga hari lalu mengenai harapan warga Kuala Lumpur supaya dihentikan tindakan pihak tertentu untuk merobohkan masjid itu untuk dijadikan tapak letak kereta.
"Kabinet bersetuju semalam supaya kehendak ke arah merobohkan masjid ini ditangguhkan," katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Kebangsaan Bahasa Melayu anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.
Rais berkata, kementerian akan menjalankan kajian rapi bagi menentukan alasan yang kukuh kenapa bangunan masjid itu harus dikekalkan.
"Tetapi (kementerian) juga mengambil kira kehendak semasa dari segi (keperluan kawasan) letak kereta dan dari segi kedudukan masjid ini yang menjadi perhatian dan minat orang ramai yang menetap di seluruh Kuala Lumpur," katanya.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, kementerian mengiktiraf masjid itu, yang dibina pada 1881, sebagai satu institusi warisan negara terulung.
Sistem komunisme
"Jadi, tidaklah semudah itu bagi mana-mana pihak untuk merobohkan masjid itu dengan secara yang biasa. Insyaallah kementerian akan menyiapkan laporan dan mengesyorkan (tindakan susulan) kepada kerajaan secepat mungkin," kata.
Mengenai pandangan seorang pemimpin DAP bahawa Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan pemimpin-pemimpin Umno bukannya pejuang kemerdekaan sebenar, Rais berkata tanggapan itu perlu dihapuskan daripada pemikiran rakyat Malaysia.
Beliau juga berkata kenyataan Setiausaha Biro Antarabangsa DAP Ronnie Liu mengenai perkara itu dan juga kononnya pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng turut bertanggungjawab menuntut kemerdekaan, seolah-olah mengiktiraf sistem komunisme sebagai sealiran dengan semangat nasionalisme.
Menurutnya perjuangan Tunku Abdul Rahman dan pemimpin terdahulu seperti Datuk Onn Jaafar dalam menuntut kemerdekaan adalah satu perjuangan nasionalisme yang luhur kerana perjuangan mereka adalah ke arah demokrasi yang tidak ada kekerasan atau untuk memusnahkan satu-satu kaum.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.