Sindiket pintas cek, kad kredit: 5 ditahan
Sindiket pintas cek dan kad kredit yang dikenali sebagai "Kumpulan Ah Chong”, dilumpuhkan polis Sabtu lepas dengan penahanan lima anggotanya termasuk seorang wanita di sebuah kondominium di Jalan Ampang.
Dalam serbuan itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfield, merampas kad pengenalan palsu, telefon bimbit, kad debit, pelbagai cek bank dan kotak peralatan disyaki digunakan untuk mengubah suai cek dan cip kad pengenalan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata modus operandi sindiket itu ialah anggotanya akan memintas kad-kad kredit yang dihantar pihak bank melalui peti surat di kondominium sekitar Lembah Klang dan kad-kad itu kemudian diubah suai bagi membeli barang secara dalam talian.
"Barang yang dibeli online itu, akan dijual semula bagi memperoleh keuntungan. Kegiatan berlangsung sejak Ogos lepas dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM500,000.
"Hasil siasatan, mendapati seorang daripada lima suspek yang berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun itu, mempunyai tiga rekod ‘dikehendaki'kerana melarikan diri daripada Perintah Sekatan di bawah Seksyen 15 Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) di Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Cheras.
Mazlan berkata tiga suspek direman sehingga esok manakala dua lagi suspek dibebaskan dengan jaminan polis setelah diambil keterangan.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan (Tipu dengan jalan samaran) yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
205 kes tipu, kerugian RM1.7 juta di T'ganu
Sementara itu, sebanyak 205 kes penipuan melibatkan kerugian kira-kira RM1.7 juta dilaporkan di Terengganu sepanjang 10 bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata daripada jumlah itu, 115 kes penipuan pembelian secara dalam talian dan pinjaman Ah Long melibatkan kerugian RM836,736, penipuan kiriman bungkusan (42 kes, kerugian RM583,610) dan pinjaman wang tidak wujud (48 kes, kerugian RM307,694).
Katanya penipuan kiriman bungkusan menyebabkan penerima terpaksa menanggung kos penghantaran dan cukai tidak dibayar oleh penghantar, dan penerima terpaksa membayar terlebih dahulu kos tersebut sebelum menerima bungkusan dikirimkan kepadanya itu.
Beliau berkata tabiat malas membaca menjadi antara punca penipuan tersebut berlaku terhadap mangsa di negeri ini, khususnya melibatkan penipuan menerusi aplikasi Facebook, WhatsApp dan We Chat.
"Sikap malas mengambil tahu hal semasa walaupun perkara berkenaan diuar-uarkan oleh media massa menyebabkan mereka terpedaya dengan iklan dan tawaran dilakukan secara dalam talian ini.
"Ada antara mereka, bila nampak iklan berkenaan, terus membuat urus niaga dengan penjenayah melalui panggilan telefon tanpa menyelidiki terlebih dahulu dengan siapa mereka berurus niaga," katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu.
Aidi berkata walaupun kes penipuan kiriman bungkusan tidak serius hanya 42 kes, namun ia dikhuatiri meningkat sekiranya tiada kesedaran daripada orang ramai di negeri ini berhubung kelicikan sindiket penipuan tersebut.
Mengenai sindiket pinjaman wang haram atau Ah Long, beliau berkata terdapat enam syarikat yang menjalankan perniagaan pinjaman kewangan secara berlesen dan ada juga yang menjalankan operasi secara haram.
Beliau berkata pihaknya turut menerima laporan mengenai peminjam wang itu yang terbeban dengan bayaran bunga pinjaman yang tinggi.
"Bagaimanapun mangsa yang membuat pinjaman daripada Ah Long tidak pernah menerima ugutan atau dipukul,” katanya.
- Bernama

