Penduduk setinggan Kampung Saujana mengambil tindakan membina semula rumah mereka sehari selepas dirobohkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam.

Wakil Suara Warga Pertiwi, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Ramasamy Karuppan mereka mendapat surat dari Pejabat Perdana Menteri yang membenarkan penduduk setinggan membina semula rumah di atas tapak yang dirobohkan itu.

"Surat tersebut ditandatangani oleh Ahmad Yaakob, Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri diperolehi oleh wakil penduduk yang menghubungi Ahmad pagi tadi. Surat itu menyatakan penduduk dibenarkan membina semula rumah mereka sehingga rumah ganti di Monterez Kayangan, Shah Alam siap," katanya ketika dihubungi oleh malaysiakini hari ini.

Katanya, pada hari ini enam penduduk sudah memulakan kerja pembinaan masing-masing dan penduduk lain akan berbuat demikian tidak lama lagi.

Kampung Saujana mempunyai 30 penduduk setinggan dan kesemua rumah mereka dirobohkan oleh MBSA dalam operasi besar-besaran semalam.

Beliau berkata, pada pagi tadi beberapa anggota polis dan penguatkuasa MBSA datang ke Kampung Saujana untuk membersihkan kawasan tetapi dihalau oleh penduduk kampung terbabit.

Menurutnya, penduduk juga kini sibuk mengambil semula pelbagai barangan keperluan yang rosak semasa operasi merobohkan rumah semalam untuk dibaiki.

Dalam operasi semalam, seramai 17 penduduk setinggan ditahan di lokap polis Seksyen 11, Shah Alam kerana cuba menghalang penguatkuasa MBSA daripada merobohkan rumah mereka.

Anggota polis dan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) menahan penduduk terbabit setelah berlaku pertengkaran dengan anggota MBSA yang melancarkan operasi meroboh rumah mereka.

Kesemua yang ditahan itu dibawa dengan trak FRU ke Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam. Mereka dibebaskan dengan ikat jamin pada jam 4 petang.

Pelbagai helah penduduk

Sementara itu Exco Kerajaan Selangor, Datuk Mohd Mokhtar Ahmad Dahalan berkata, pihaknya tidak pernah menerima surat dari Ahmad yang membenarkan penduduk setinggan Kampung Saujana untuk membina semula rumah di kampung tersebut.

Katanya, surat tersebut hanya menyatakan bahawa kerajaan negeri dan MBSA mempunyai pilihan sendiri terhadap penduduk setinggan Kampung Saujana.

"Keputusan yang kita ambil ialah merobohkan rumah setinggan di kampung tersebut selaras dengan dasar kerajaan negeri untuk membasmi setinggan di Selangor," katanya ketika dihubungi.

Beliau mendakwa, penduduk setinggan Kampung Saujana membuat pelbagai helah daripada berpindah dengan membuat tuntutan untuk membeli rumah di Monterez Kayangan yang masih dalam pembinaan.

Katanya, projek perumahan yang sudah siap sepenuhnya di Bukit Subang yang ditawarkan ditolak dengan pelbagai alasan termasuk harga yang didakwa mahal dan jauh dari kampung asal.

Beliau berkata, masalahnya ialah mereka mengambil wang pampasan pemindahan sebanyak RM7,000 seorang tetapi apabila sampai masa berpindah mereka enggan berbuat demikian.